PERTAMA sekali, sekalung tahniah diucapkan kepada Aaron Aziz, orang Melayu Singapura yang merantau mencari rezeki dan sudah bertahun-tahun memohon status Penduduk Tetap (PR) di negara ini.
Kejayaan Aaron sudah cukup menjadi bukti bahawa di Malaysia ini, pelakon yang bagus dinilai berdasarkan merit, bukan semangat kenegerian sempit yang merosakkan industri.
Aaron bukan perantau pertama berjaya di negara kita, jangan lupa Datuk M Nasir, Ramli Sarip, allahyarham Loloq antara sebilangan kecil seniman Melayu Nusantara, yang menabur budi, berkongsi rezeki di atas tanah yang makmur ini.
Dan untuk berjaya di Malaysia, juga di mana-manapun, saya kira, bakat sahaja tidak cukup, pengalaman saya merakam kisah kejayaan artis selama ini mengajar bahawa bakat perlu dilandasi dengan disiplin, tekad, keyakinan diri dan lebih penting dari segalanya kepercayaan masyarakat.
Aaron nampaknya, beberapa tahun kebelakangan ini, mempunyai pakej kejayaan tersebut. Dua filem di mana beliau memegang watak utama, KL Gengster dan Ombak Rindu pecah panggung dengan rekod kutipan luar biasa, lebih RM11 juta satu filem.
Saya percaya, penerbit filem kita tahu ciri-ciri yang ada pada Aaron apabila mereka mengambilnya. Jika dia bukan seorang pelakon yang baik, sudah tentu dia tidak dapat apa yang dikecapi sekarang. Aaron berjaya, sebab dia mencabar dirinya untuk jadi lebih baik.
Aaron menuai hasil yang disemainya beberapa tahun kebelakangan ini, nama baik, mutu lakonon, dan kepercayaan masyarakat kepada beliau diterjemahkan dalam ABPBH baru-baru ini.
Pembaca BH (masyarakat) telah membuat pilihan, dan mereka tidak dipaksa untuk memilih sesiapa, mereka tahu Aaron orang Singapura, tetapi memilih untuk mengetepikan sentimen sempit kenegerian kepada sesuatu yang lebih besar. Masyarakat telah bersuara.
Saya sedikit kecewa membaca komen di laman sosial twitter milik pemangku Timbalan Presiden Seniman Zed Zaidi yang cuba memainkan isu sempit kenegerian.
Saya lebih kecewa apabila membayangkan inilah taraf pemimpin persatuan artis di Malaysia, pada saya, apabila Zed Zaidi mempertikaikan kemenangan Aaron, beliau mempertikaikan hasrat masyarakat, kerana ABPBH bukan undian juri seperti Festival Filem Malaysia, sebaliknya undian dari orang ramai pembaca Berita Harian.
Jujurnya, perkara ini biar berlalu, tidak perlu dipolemikan. Iyalah, siapa Zed Zaidi untuk menentang kemahuan masyarakat, dalam demokrasi, orang ramai selalu benar, dan jangan lupa ABPBH sendiri sudah 25 tahun, sudah separuh abad untuk melayan rengekkan seorang dua yang kecewa?
Saya terpanggil untuk menulis, bukan kerana isu sentimen sempit sebaliknya anugerah ini diadakan untuk menyemarakkan lagi industri hiburan tanahair, tanpa mengira batas kaum, warna kulit dan sempadan negara. Pendek kata, popular dalam seni itu tiada sempadannya. Kerana seni itu sejagat.
Jadi siapa dia Zed Zaidi yang mahu memandai-mandai mencetuskan sentimen sempit dengan mempertikaikan kemenangan Aaron yang dipilih orang ramai.
Seharusnya sebagai rakan artis, berbangsa Melayu dan beragama Islam, patut berbangga dengan kemenangan saudara serumpun, seagama dan sebangsanya seperti Aaron.
Aaron dengan berani meneroka hidup baru,membawa isteri dan anak-anak dan memperjudikan nasibnya di bumi bertuah Malaysia ini. Bukan susah dan tidak juga senang, hidup sebagai warga asing dengan membayar cukai yang tinggi. Tapi itulah cabaran yang menguatkan dirinya hingga berjaya.
Saya ingat lagi kata-kata Aaron ketika saya menemubualnya dua tahun lalu. Ketika itu demam Ombak Rindu dan KL Gangster belum bermula, saya melihat kesungguhan dia mahu jadi rakyat Malaysia.
Saya ingat lagi kata-katanya kerana ia menjadi tajuk berita saya untuk portal online Agendadaily, kata Aaron : “Jika terpaksa pilih di antara Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Malaysia, saya akan pilih Datuk Seri Najib.”
Artis berbakat besar dan punya semangat jati diri sebeginilah yang harus kita terima dengan baik untuk jadi sebahagian dari keluarga 1Malaysia. Sama seperti mana kita menerima M Nasir, Loloq dan Ramli Sarip. Mereka ini adalah nama besar yang punya bakat yang luarbiasa.
Mereka memberikan input yang baik untuk industri dengan bakat dan kebolehan semulajadi. Tidak ada ruginya mereka jadi ahli keluarga 1Malaysia. Begitu juga dengan Aaron Aziz.
Jika ada rasa tidak puas hati tentang Aaron dan mana-mana artis luar, mengapa tidak disuarakan sebelum ini? Senarai pencalonan sudah berbulan-bulan keluar, mengapa tidak merengek waktu itu?
Dan ingat, Aaron dipilih untuk sebuah penerbitan Malaysia 100 peratus, bukan penerbitan drama atau filem asing. Bukan pengarah asing atau naskhah asing. Semuanya buatan Malaysia tulen.
Sebetulnya, saya taklah terkejut bila baca tweet dan blog Rozaidi Jamil alias Zed Zaidi. Apa lagi yang boleh mengejutkan dari dia selepas hantar usul minta kerajaan benarkan cermin gelap untuk ahli Seniman sebab takut diganggu lepas balik shooting malam-malam.?
Dalam tweet dan blognya, dia kata begini: AKU LEBIH BERBANGGA KALAU RAKYAT MALAYSIA YANG MENANG!!! Terima kasih rakyat Malaysia kerana mengalakkan artis luar merosakkan industri seni.”
Meskipun saya masih terpinga-pinga (sepertimana reaksi saya ketika dia mohon cermin gelap), apakah kerosakan yang dimaksudkan? Aaron pecahkan studio? Aaron pecah masuk pejabat Seniman? Atau Aaron pernah buat video lucah di sini? Wah! Ini berat tuduhan ni? Apa? Aaron, apa kamu sudah buat sampai merosakkan industri seni?
Ini satu tuduhan yang agak berat. Cuma tidak pasti apakah ini juga pendirian Persatuan Seniman, maklumlah Zed Zaidi sejak dalam Seniman, suka sangat bercakap dan bertindak memandangkan Presidennya , Haron Salim Bachik sekarang ini sibuk dengan kerja-kerja pengarahan.
Mewakili persatuan atau tidak, ia sekali lagi menampakkan kedangkalan diri. Kalau betul mahu jadi hero perjuangankan nasib artis atas isu ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” mengapa tak belasah saja stesen TV yang sarat dengan sinetron drama luar?
Bukankah itu lebih berasas untuk merosakkan industri seni, berbanding dengan seorang pelakon Singapura yang berlakon produksi Malaysia? Atau buat-buat tak nampak kerana kalau bersuara, takut pula kena gam dengan stesen TV, tak gitu?
Nasihat saya pada Zed Zaidi, usah bermain sentimen sempit, dengan memukul gendang patriotisme, jika hanya untuk sembunyikan kelemahan diri.
Hello…, dunia artis tidak sebesar mana. Dalam kelompok yang kecil itu seharusnya masing-masing lebih ikhlas, saling membantu dan bermuafakat serta bersaing secara sihat.
Seniman tulen tidak ada hasad dengki, sebaliknya bersatu seperti aur dengan tebing kerana seni itu bersifat universal. Yang membezakan artis bukannya warna kad pengenalan, tapi displin dan ketulenan bakat.
Saya sendiri menulis untuk Berita Harian Singapura; sudah bertahun-tahun, bukan kerana tidak ada orang Singapura yang tidak mampu menulis hiburan, tetapi saya percaya, saya diberikan ruang dan peluang kerana merit sama seperti Aaron.
Jadi, kepada Zed Zaidi, kalaupun mahu jadi hero berjuang untuk rakan-rakan artis, biarlah ada asas. Gunalah akal untuk berfikir benda-benda yang lebih berfaedah yang boleh diterima pakai. Bukan ikut sedap rasa. Dan seperkara lagi yang perlu diingatkan, asahlah bakat lakonan, berdisplin, berhemahlah jika mahu dihormati dalam industri ini.
Kalaupun nak jadi Presiden, jangan ikut sedap mulut saja. Kerana setiap tindakan dan kata-kata akan membawa kesan kepada diri dan juga dunia yang anda wakili.
Masyarakat menilai, mereka bersuara, banyak terbukti ramai kecundang kerana tiada disipin dan tidak berhemah.
Pada akhirnya, kita hanya manusia, artis, wartawan atau sesiapa saja, berjuang mencari sesuap nasi, menabur budi dan bakti, yang penting pada Aaron dan Zed Zaidi, bukan di mana kita bermula, tetapi di mana kita berakhir.
Syabas kepada Aaron Aziz, syabas kepada Berita Harian dan syabas kepada rakyat Malaysia yang sporting, ABPBH selepas 25 tahun merupakan anugerah paling berpresjtij di negara ini.
Tulisan ini kali pertama disiarkan Berita Minggu pada 15/4/2012
IKLAN
TERHANGAT DIPASARAN, PANGGILAN BIJAK DI DUNIA TELEKOMUNIKASI!!!
ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!!
Jom!Pusat Memancing UdangGalah Tuah. 
Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA. 
Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.
Blog 1 Malaysia
Other Thots - A Kadir Jarin
Kuda Kepang - Ruhani Ahmad
Dunia ... - Ibrahim Yahya
Chedet - Tun Dr Mahathir Mohammad
Cetusan - Dr Mohammad Khir Toyo
Peribumi Perkasa Negara
Teh Tarik Bersama YB
Syed Hamidalbar dot net
Ilustrasi - Salleh Tuh Said
Hafarizam Harun
Perisik Rimba
Syed Ali Alhabshee
YB Dato' Shahrir
Nota Shabery
Rembau Dot Net
AlifBaTa - Kamal Zalani
Direct to the point - Raduan Taib
Suara Dari Seberang - Reme Ahmad
Baca Jangan Tak Baca - Norzah
Di kubu gajah - Raja Ahmad Zainuddin
Itu bukan Anwar !!!- Wan Azizah







