JIKA kita selalu menghadiri program ceramah besar-besaran PAS, kita akan dapati cara kerjanya (SOP) sama dengan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang diadakan di Stadium Shah Alam petang Sabtu.
Baik dari segi kedudukan petugas yang menyambut orang ramai, susun atur program, ungkapan takbir setiap kali habis ucapan, bentuk dan design banting yang tergantung di sekeliling stadium, dan paling terang sekali, sebelum penceramah terakhir berucap, keluar karung khas kutip derma, memang sah DNA PAS.
Bagi wartawan yang biasa liputi program UMNO dan PAS, sebahagian besar daripada 10,000 hadirin itu adalah aktivis-aktivis Islam yang sinonim dengan PAS bukannya UMNO.
Deretan belia dan beliawanis, berkopiah dan bertudung litup, duduk tertib dari awal hingga akhir majlis, jarang bertepuk tangan, memang sinonim dengan gerakan Islam di manapun.
"Mereka ini aktivis Islam yang selama ini menyokong PAS dan mula kecewa dengan Pakatan Rakyat," kata seorang bekas pemimpin PKR pusat ketika kami terserempak di majlis tersebut.
Menurut beliau, majoriti yang hadir itu adalah golongan yang kecewa dengan pengaruh kumpulan Erdogan dalam parti Islam tersebut.
"Mereka merasakan PAS di era Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini terlalu berkompromi dengan isu-isu Islam seperti murtad yang sudah lama menjadi retorik dalam ceramah-ceramah PAS.
"Tapi mereka juga bukan penyokong apatah lagi pengundi UMNO, jadi HIMPUN menjadi medan mereka untuk menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap PAS Baru yang lari dari asas perjuangan dan retorik tradisi mereka," katanya.
PAS dalam muktamar terakhirnya Jun lalu bahkan menukar konsep Negara Islam kepada Negara Kebajikan bagi menarik sokongan bukan Islam kepada parti itu.
Penganjur bersama HIMPUN, Dr Yusri Mohamad memberitahu Agendadaily, beliau teruja melihat kehadiran ramai orang muda dalam majlis tersebut.
"Kami hanya mengharapkan NGO-NGO yang menyertai HIMPUN agar memobilisasi ahli mereka," katanya ketika ditanya cara penganjur kumpul peserta program tersebut.
Ada yang kata angka 10,000 itu tanda kegagalan penganjur kumpul satu juta tapi kalau kita lihat dari sudut lain, angka 10,000 adalah angka kehadiran biasa bagi program-program besar PAS di Lembah Klang.
"Sebut apa saja program besar PAS samada di Stadium Melawati atau Taman Melewar, kehadiran mesti kurang atau lebih 10,000, sebab apa, sebab itulah akar umbi mereka," kata bekas pemimpin PKR yang biasa dengan kerja-kerja mobilisasi penyokong PAS apabila program melibatkan Anwar Ibrahim.
"Jika di Kelantan atau Kedah mungkin boleh dakwa sehingga 50,000 tapi kalau di Lembah Klang, 10,000 itu angka sebenarnya," katanya penuh yakin.
Jika ditolak satu pertiga daripada 10,000 itu untuk penyokong Perkasa, UMNO, dan NGO seperti PPIM dan PEMIMPIN yang dilihat condong kepada kerajaan, yang lain itu memang dikenali berat belah pembangkang.
Dalam bahasa mudahnya, perhimpunan petang Sabtu itu adalah manifestasi kekecewaan kelompok gerakan Islam kepada PAS Baru.
Mereka kecewa melihat PAS yang tunduk kepada Anwar, yang tunduk kepada DAP sehingga hilang jati diri parti itu.
Sehingga mereka sendiri (ketua-ketua NGO Islam) perlu 'turun padang' menjadi satu kumpulan pendesak baru tanpa lagi bergantung harap kepada PAS yang kini dilihat banyak berkompromi asas perjuangannya untuk meraih undi bukan Islam.
Soal kehadiran bukan isu besar, bagi mereka yang duduk dan menyaksikan betapa bersemangatnya kumpulan HIMPUN ini, pasti sedar tapak sokongan PAS sudah bergoyang.
Apatah lagi bila ada cadangan dari wakil-wakil NGO yang berucap, mahu menjelajah setiap negeri dengan HIMPUN dan disambut dengan laungan 'allahuakbar' yang gegak gempita.
PAS sehari dua lagi, akan merasai kesannya dan jangan terkejut sekali lagi parti menggunakan nama Islam itu menukar retoriknya seperti kes hudud baru-baru ini.
Selepas melihat PAS semakin hilang sokongan Melayu terutama di Kelantan, Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba-tiba membangkitkan semula soal pelaksanaan hudud yang PAS sudah tidak bincang sekian lama.
Hujah PAS kepada DAP dan Anwar mudah, orang Kelantan mengundi PAS sebab nak laksana hudud.
Di Shah Alam petang Sabtu, kisah Datuk Dr Hasan Ali yang hadir dan berdoa menutup majlis bukan sebagai pemimpin atau ahli PAS tetapi sebagai umat Islam (seperti kata pengerusi majlis) pasti menjadi bualan dikalangan gerakan Islam.
Terutama ratusan wakil NGO, yang khuyuk mengaminkan tatkala Hasan Ali dengan mata berair berdoa "Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati. Kekalkan kami di atas landasan Islam,".
Stadium yang boleh memuatkan 100,000 pengunjung itu mungkin terlalu besar untuk 10,000 yang hadir, tapi gema doa munajat yang dibaca Hasan Ali, pasti berbekas di hati mereka yang mengaminkannya dan berkembang kepada yang lain juga.
Kita sama-sama lihat nanti.-22\10\2011- OLEH HELME HANAFI
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sekalipun hadir sebagai Umat Islam…kemunculan Hasan Ali mengejutkan
Walaupun Pakatan Pembangkang sudah mengumumkan keputusan sebulat suara menegah ahli-ahli mereka menyertai Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Stadium Shah Alam, Sabtu, Exco Hal Ehwal Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tetap muncul.
Beliau yang juga ADUN PAS bagi Gombak Setia, tidak berucap, tetapi sekadar memimpin bacaan doa penutup perhimpunan. Begitupun kehadirannya tetap menarik perhatian. Hasan Ali enggan ditemuramah oleh media selepas perhimpunan berkenaan.
Sebelum Hasan Ali, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamada sudahpun membuat kejutan terlebih dahulu apabila dia tampil berucap.
Kehadiran Hasan Ali, walaupun tidak berucap dan tindakan Kamaruzzaman secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada Pakatan Pembangkang khasnya dan PAS amnya yang sebelum ini menuduh UMNO mendalangi penganjuran HIMPUN.
Polis menganggarkan kehadiran penonton 10,000, tetapi macam biasalah, media pembangkang hanya melaporkan 5,000.
Perhimpunan dimulakan dengan ucapan pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Yusro Mohamad, diikuti penulis novel Natrah, Fatini Yaacob, pendakwah dari Sabah, Farhan Abdullah, wakil NGO Belia FELDA, Abdullah Abu Bakar, bekas timbalan naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah, wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Mohamad Hasan dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Pengerusi bersama HIMPUN yang juga pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid muncul penceramah terakhir dan mengumumkan 10 resolusi HIMPUN.
Pada sidang media selepas itu, Azmi berkata walaupun kehadiran penonton tidak seperti diharapkan, penganjur tetap menganggapnya satu kejayaan. Katanya, apa yang penting, perhimpunan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau juga menjelaskan kehadiran Hasan Ali adalah sebagai individu beragama Islam dan bukan sebagai wakil PAS atau kerajaan negeri. – 22/10/11-OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
BERITA AWAL- Walau kehadiran tak capai sasaran.. Himpunan Sejuta Umat berlangsung penuh semangat
Kalau nak diukur dari segi jumlah yang hadir di Stadium Shah Alam yang boleh mengisi 100,000 orang memang ia gagal capai sasaran yang diharapkan. Namun Himpunan Sejuta Umat terus berlangsung penuh semangat.
Antara yang mengejutkan ialah kehadiran Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dari PAS sendiri di majlis itu. Ini mengenangkan secara rasmi membuat keputusan tidak hadir.
Hadir sama di Majlis itu ialah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang memberi ucap utama di majlis itu. Turut sama ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.
Selain Harussani yang berucap menjelang hujung majlis,sebilangan pimpinnan NGO lain turut berucap.
Dr Hasan tidak berucap di majlis itu namun telah mengetuai bacaan doa dan munajat di akhir majlis itu pada jam 6 petang.
Sementara itu pengerusi jawatankuasa bersama penganjur Mohd Azmi Abdul Hamid dalam ucapan penutupnya antara lain membidas sikap ' lidah bercabang' pihak tertentu yang disebutnya cuba menakutkan dan memperlekehkan perhimpunan itu.
Katanya mereka bercakap tentang demokrasi tetapi tunjuk sikap seolah hanya perhimpunan anjuran mereka saja boleh tetapi perhimpunan ini ( Himpunan Sejuta Umat) tidak boleh.- OLEH HELME HANAFI.
Himpunan Sejuta Umat: Pemuda PAS buat U-turn...PKR juga tak hadir...penganjur tetap buka undangan pada pemimpin Islam semua parti politik
KEMASKINI : Pakatan pembangkang Rabu jenuh berusaha untuk memastikan kalangan ahli mereka tidak menyertai Himpunan Sejuta Umat anti-murtad anjuran kira-kira 1,000 NGO di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
Setelah PAS Pusat membuat keputusan Selasa malam tidak akan sertainya atas alasan ia anjuran NGO,Rabu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberitahu wartawan partinya juga mengambil pendirian sama.
Beliau memberi alasan konon pihaknya gusar himpunan itu diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan suasana tegang di antara kaum.
Pemuda PAS yang sebelum ini bernada garang nak sertai juga himpunan juga terpaksa tunduk kepada keputusan PAS Pusat.
Ketuanya Nasrudin Hassan dilaporkan sebagai berkata mereka berkongsi pendirian dengan PAS Pusat.
Untuk coverline setelah sebelumnya terlanjur, beliau berkata Pemuda PAS tetap menyokong usaha murni himpunan itu.
Badan Perhubungan PAS Selangor pula dilapor mengarahkan semua ahlinya tidak menyertai himpunan berkenaan.
Harakahdaily memetik , Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman memberitahu, arahan tersebut dikeluarkan berikutan penegasan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi yang memutuskan bahawa PAS tidak terbabit dalam Himpun.
"Presiden PAS telah menyatakan bahawa PAS tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli PAS di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut," tegas beliau.
Tegas Khairuddin, arahan terebut dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Selangor selaras dengan arahan yang diterima daripada Presiden PAS.
Sementara itu Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan Rabu berkata bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan.
“ Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini,”ujarnya.
Menurut beliau dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.
Katanya perhimpunan Sabtu itu tetap diteruskan.
Kenyataan Mohd Azmi itu jelas memperlihatkan bagaimana Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang cuba berdolak dalik untuk mengelak diri dari menghadirinya dengan memberi alasan ia suatu acara NGO.
Rekasi yang paling hangat diterima dari kenyataan beliau ialah mempersoalkan bukankah demo Bersih baru-baru ini juga anjuran NGO.
Soalnya mengapa PAS dan PKR ketika itu awal-awal lagi ‘ terkinja-kinja’ hendak menyertainya dan tidak langsung membangkitkan parti politik tidak boleh menyertai demo Bersih kerana ia anjuran NGO.
Ada yang secara sinis berkata mereka turut serta demo Bersih kerana ada nawaitu politik tetapi dalam bab Himpunan Sejuta Umat pula bimbang kurang undi bukan Melayu sekalipun ia melibatkan soal keagamaan.
Ahli Parlimen BN Seri Gading,Johor Datuk Mohamad Aziz yang mengulas isu berkenaan berkata tindakan PAS yang sanggup berpatah arah menyokong Datuk Ambiga ,penganjur Bersih tapi tak mahu sokong perhimpunan anti murtad membuktikan ia adalah sebuah parti yang hipokrit.
“Selama ini perjuangan PAS untuk apa? Ini semua perjuangan yang berpura-pura. PAS kalau nak buat apa-apa kena tanya taukeh dulu, iaitu DAP dan Anwar Ibrahim,” katanya.
“Ambiga, penganjur perhimpunan Bersih yang haram dia boleh ikut, tetapi Himpunan Sejuta Umat Anti-Murtad yang dianjurkan oleh NGO lain untuk menghimpunkan orang Islam, dia tak sokong pula,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Bebas Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samuri, berkata, dia tidak nampak apa-apa salah mengenai perhimpunan itu asalkan ia tidak terpesong daripada matlamat sebenar.
“Jika ia himpunkan ulama-ulama tersohor yang akan bercakap mengenai perpaduan ummah, saya sokong. Asalkan tak ada orang politik berceramah, rasanya tak ada masalah,” katanya.-19/10/2011
Himpunan Sejuta Umat anti-murtad: Pemuda PAS kata YES...PAS Pusat NO
'Keputusan politik’ ini memang dijangka.Mesyuarat Biro Politik PAS Selasa malam buat keputusan parti itu tidak akan sertai Himpunan Sejuta Umat anti-murtad di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam satu kenyataan memberi alasan keputusan itu dibuat kerana ia dimaklumkan bahawa majlis ini (yang dianjurkan oleh NGO ) tidak melibatkan parti-parti politik.
“Maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program,”katanya.
Sebaliknya sebelum ini Setiausaha Sekretariat Himpun, Aminuddin Yahaya dipetik sebagai berkata, Himpunan Sejuta Umat merupakan satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa sebarang kepentingan politik namun kesemua wakil parti dan NGO digalakkan hadir.
Juga Ketua Pemuda PAS Nasarudin Hasan pada sebelah pagi mengeluarkan satu kenyataan memberitahu pergerakan itu akan turut serta dalam himpunan berkenaan.
Namun beberapa jam kemudian Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali dipetik oleh sebuah portal berita sebagai berkata Pemuda PAS kena ikut keputusan yang bakal dibuat oleh parti – merujuk kepada mesyuarat Biri Politik PAS yang akan bermesyuarat pada sebelah malam.
Kalangan pemerhati politik menilai PAS membuat keputusan itu atas sebab politik takut ‘menyinggung’ rakan politiknya DAP dan takut hilang undi bukan Melayu.
Sehingga berita ini ditulis (awal pagi Rabu) belum dapat dipastikan lagi samaada Pemuda PAS akur dengan keputusan Biro Politik PAS atau sebaliknya.
Kira-kira 1,000 NGO terlibat dalam penganjuran himpunan itu yang diadakan ekoran kehangatan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) keatas gereja DUMC di Petaling Jaya baru-baru ini.
Himpunan itu dikatakan untuk meluahkan kebimbangan terhadap kegiatan pesongkan akidah umat Islam dan menunjukkan solidariti umat Islam menentangnya.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijangka turut berucap di himpunan itu..
Dalam isu gereja DUMC ramai yang hairan melihat gelagat PAS yang ‘goyang’ untuk menyuarakan pandangan sedangkan Exco Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali adalah dari parti itu.
Tidak kurang menarik ialah wujud semacam cakap tidak serupa bikin dalam kenyataan Haji Hadi mengumumkan parti itu tidak akan menyertai himpunan berkenaan.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau:
PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.
PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.
Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.
PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Contohnya beliau bercakap mengenai soal pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai...namun pihak mana yang kebelakangan ini cukup galak dengan kegiatan kafir mengkafir sesama Islam.
Ini belum lagi bab mengata merekalah ‘ lebih Islam’ dari orang Islam lain dan pangkah PAS masuk syurga.
Juga isu sembahyang dua imam itu perbuatan siapa.
Beliau juga nampaknya cukup berhati-hati nak jaga perasaan pengundi bukan Melayu bila berkata PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.
Juga katanya sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Ada yang bertanya apakah PAS selama mempraktikan apa yang Haji Hadi kata ini ?.-18/10/2011
IKLAN
Mari memancing udang di Pusat Memancing UdangGalah Tuah. 
Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA. 
Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.
Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.
Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.
Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.
Blog 1 Malaysia
Other Thots - A Kadir Jarin
Kuda Kepang - Ruhani Ahmad
Dunia ... - Ibrahim Yahya
Chedet - Tun Dr Mahathir Mohammad
Cetusan - Dr Mohammad Khir Toyo
Peribumi Perkasa Negara
Teh Tarik Bersama YB
Syed Hamidalbar dot net
Ilustrasi - Salleh Tuh Said
Hafarizam Harun
Perisik Rimba
Syed Ali Alhabshee
YB Dato' Shahrir
Nota Shabery
Rembau Dot Net
AlifBaTa - Kamal Zalani
Direct to the point - Raduan Taib
Suara Dari Seberang - Reme Ahmad
Baca Jangan Tak Baca - Norzah
Di kubu gajah - Raja Ahmad Zainuddin
Asam Pedas - Noorhazilah Ismail
Rakyat Malaysia - Hambali Lauf
Itu bukan Anwar !!!- Wan Azizah







