24Ogos2014

Rundingan dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu dijangka ditamatkan segera - KPN

lahadatu
kpsabah
abusayyaf-lahaddatu513
KEMASKINI Rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan sekumpulan rakyat Filipina yang menceroboh ke negara ini melalui Kampung Tanduo, di Lahad Datu sejak 12 Feb lalu dijangka ditamatkan dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Kami sedang berusaha ke arah itu (menamatkan konflik)...dan kami telah buat satu langkah yang terbaik untuk menyelesaikan konflik ini melalui rundingan dan seterusnya mencapai episod yang baik," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab polis dalam mengawal insiden seperti ini (pencerobohan) seterusnya menyelesaikannya segera mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya mengesahkan keadaan di sana terkawal, kita telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani situasi berkenaan...kita sedang mencari solusi terbaik dalam mengusir mereka mengikut perundangan yang ada," katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen serta daerah terbaik sempena Op Selamat 2, di Kuala Lumpur Rabu.

Selasa lepas, pasukan keselamatan menemui sekumpulan rakyat asing bersenjata serta berpakaian tentera mendarat di pesisir Lahad Datu dan polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo itu sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Dalam pada itu, Ismail yang turut menyangkal beberapa dakwaan di laman sosial dan khabar angin berhubung situasi di Kampung Tanduo, berkata ia adalah dalam bidang kuasa polis serta menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat andaian dan spekulasi.

"Saya lihat banyak gambaran di laman sosial yang tidak tepat mengenai situasi di sana (Kampung Tanduo)...ini adalah tanggungjawab polis. Saya harap kita tidak terlalu cepat membuat andaian," katanya.-20/2/2013


Kerajaan tidak kompromi hak dan keselamatan rakyat Sabah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan hak dan keselamatan rakyat negeri ini dalam menyelesaikan secara baik insiden pencerobohan warga Filipina di perairan Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah.

Beliau juga mengesahkan bahawa kumpulan terbabit bukan merupakan kumpulan militan atau pengganas, tetapi " oleh kerana mereka juga memegang senjata maka adalah penting apa juga tindakan yang diambil, ia tidak menjurus sehingga berlaku pertumpahan darah.

"Saya tengok kawalan di situ berada pada tahap yang membanggakan dan dalam proses kita untuk mengusir mereka ini, ia juga membantu keadaan.

"Yang penting sekarang banyak betul spekulasi dan khabar-khabar angin dan saya tahu maklumat yang sebenarnya dan saya mengesahkan sebahagian besar yang digembar-gemburkan di luar sana merupakan perkara yang tidak asas langsung," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dekat sini, Isnin.

Oleh itu, Hishammuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang boleh dipolemikkan atau dipolitikkan.

"Saya harap kita sabar kerana dari segi operasi, pihak berkuasa diberi mandat untuk memantau tetapi dari segi pendirian...itu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya sambil menambah bahawa beliau akan pergi ke Lahad Datu esok untuk melihat keadaan di sana.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan operasi yang dirancang itu berjalan lancar dan tidak ada insiden yang tidak diingini terutama yang melibatkan pertumpahan darah.Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia bekerja rapat dengan kerajaan Filipina dalam menangani insiden itu.

Mengenai permintaan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu untuk berjumpa personaliti tertentu, beliau tidak memberi butiran lanjut tetapi berkata rundingan masih dijalankan.

"Saya ingin menegaskan bahawa ia (insiden) bukan isu suku kaum dan ia tidak kena mengena dengan pendirian atau kedaulatan dan sebagainya.

"Tetapi dalam konteks kita, ini adalah bumi kita...ini adalah sesuatu yang menjejaskan keselamatan negara dan inilah yang kita tangani dengan bijaksana dengan cara tidak ada mana-mana nyawa terkorban atau tumpah darah di bumi kita," katanya.

Ditanya perkembangan terkini rundingan dengan kumpulan warga Filipina itu, Hishammuddin berkata rundingan setakat ini menunjukkan betapa profesionalnya pasukan keselamatan negara.

"Kalau kita ambil tindakan, dari hari pertama sudah kita ambil tindakan namun dalam keadaan begini kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban "walau apa jua sebabnya" di pihak mereka yang akan memberi kesan kepada kita.

"Sama ada insiden itu selesai dalam masa terdekat atau lama lagi, kita bergantung sangat kepada pihak-pihak (tentera, polis) yang lebih mahir dalam operasi ini," katanya.

Ditanya sama ada terdapat masa tertentu untuk menyelesaikan kes itu, Hishammuddin berkata tidak ada pihak yang boleh mengesahkannya buat masa ini.

Mengenai kritikan pihak pembangkang yang mempersoal tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan itu, beliau berkata mereka berhak berbuat demikian namun pemimpin pembangkang tidak pernah menghargai apa juga perkara baik yang dilakukan kerajaan.

Mengulas penyebaran insiden pencerobohan itu di "Youtube", beliau berharap rakyat tidak terikut-ikut dengan perkara itu dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin khususnya yang boleh memudaratkan keselamatan.

Hishammuddin berkata tahap kawalan keselamatan di pusat peranginan atau pelancongan terutama di pantai timur Sabah juga dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.-18/2/2013


Kes Lahad Datu: Menuju ke penghubung...

Kes pencerobohan warga asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu hampir tamat sejak Selasa lalu hampir tamat selepas kumpulan itu setuju untuk keluar dari Malaysia.

Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib (gambar) dalam sidang media petang Ahad memberitahu bagaimanapun kumpulan tersebut meletakkan syarat untuk jumpa seorang personaliti (tidak disebut nama) terlebih dahulu.

Ia sekali gus menafikan laporan bahawa kumpulan penceroboh yang mengaku Askar Diraja Sultan Sulu itu akan terus berada di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan pasukan keselamatan Malaysia bersedia untuk mengusir kumpulan tersebut keluar dari negara secepat mungkin selepas perundingan tamat.

Polis, tentera dan pasukan keselamatan maritim sedang menunggu untuk mengusir lebih 100 lelaki bersenjata Filipina yang berkurung dalam kampung tersebut antara Felda Sahabat 17.

Menurut media Filipina, kumpulan itu diketuai oleh Putera Mahkota Rajah Mudah Agbimuddin Kira abang, Sultan Jamalul Kiram III.

Pemimpin Rajah Muda telah dilaporkan berkata kumpulan itu akan terus berada di situ dan tidak mempunyai niat untuk meninggalkannya sehingga tuntutan dipenuhi.-17/2/2013


Pencerobohan asing di Lahad Datu: Malaysia mahu elak pertumpahan darah

Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu, Sabah.

Sambil menegaskan keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kumpulan yang berjumlah antara 80 dan 100 anggota itu "keluar dengan selamat ke Selatan Filipina", sekali gus mengelak pertumpahan darah.

"Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di sini...jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar Sabah Khamis.

Najib berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu berikutan laporan yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata pasukan keselamatan menahan sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.

Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan polis mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Dalam menghadapi situasi genting itu, Najib, yang dimaklumkan tentang kejadian itu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi ini, berkata: "anggota polis kini bertindak atau merupakan bulatan pertama mengepung kawasan tersebut dan bulatan kedua terdiri daripada pasukan anggota tentera.

"Dari segi kekuatan, kuasa tempur kita adalah lebih dari cukup untuk memberkas mereka, tetapi kerajaan memilih jalan untuk buat perundingan dengan mereka supaya mereka keluar dengan aman balik ke Selatan Filipina," katanya.

Ditanya sama ada pihak berkuasa keselamatan Malaysia sudah mengenal pasti kumpulan itu, Najib berkata: "Lebih kurang kita sudah kenal pasti ".

"Tapi biarlah polis melakukan rundingan dengan mereka dan mudah-mudahan mencapai hasil dan kejayaan. Sebab mereka tak boleh ke mana, mereka dikepung...mereka tidak ada pilihan dan perlu cari jalan penyelesaian," katanya.

Apabila ditanya sama ada kumpulan itu bersenjata atau sebaliknya, Perdana Menteri berkata perkara itu dalam makluman polis dan "jangan buat spekulasi".

"Kita bukan mendedahkan maklumat dalaman...biar polis jalankan kerja mereka tanpa diganggu mana-mana pihak. Apa yang penting keberhasilan yang selesai tanpa pertumpahan darah," katanya.

Mengenai tahap keselamatan dan kawalan di perairan negara terutama pantai timur Sabah, Najib berkata perairan Malaysia amat luas tetapi apa yang penting ialah "kita dapat maklumat cepat".

"Kita mengepung mereka, bila dapat mengepung mereka, mereka tidak boleh ke mana. Kita mesti sedar lautan kita luas dan kita tidak boleh berada di setiap masa sentiasa 24 jam," katanya sambil menambah pihak berkuasa kerajaan Malaysia sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan Filipina.

SEMENTARA ITU, kejadian tersebut disahkan tidak melibatkan tebusan rakyat tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengesahkan perkara itu berkata, pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera masih lagi mengadakan rundingan dengan kumpulan tersebut.

?"Jangan dengar khabar angin, sekarang sudah tiada lagi masyarakat awam tempatan di kawasan itu tetapi pasukan keselamatan kita telah mengepung perimeter tersebut," katanya pada sidang akhbar di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.-14/2/2013


Keadaan di Lahad Datu terkawal kata Ahli Parlimen Silam

Penduduk di Lahad Datu tidak perlu bimbang dengan kejadian sekumpulan lelaki rakyat asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke sini kelamrin.

Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi, berkata keadaan keselamatan adalah terkawal dengan pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan tentera memantau mengenai kejadian itu.

"Saya yakin pasukan keselamatan telah melakukan tindakan susulan yang terbaik bagi memastikan keadaan keselamatan di daerah ini terus terkawal," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Tungku di kawasan Kampung Bakapit sejak Selasa lalu.

Beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) juga dilihat berada di kawasan Bandar Cenderawasih di Felda Sahabat 7 untuk melakukan kawalan keselamatan.-14/2/2013


Pihak berkuasa kepung kumpulan militan bersenjata warga asing di Lahad Datu

Pihak berkuasa keselamatan berjaya mengesan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan tersebut menceroboh masuk Selasa disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.

Beliau berkata pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan tersebut meletak senjata serta menyerah diri.

"Keadaan ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang," kata Ismail dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam Rabu.

Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera telah mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Bagaimanapun setakat 10 malam, pihak berkuasa keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan itu sama ada merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.

Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan tiga lelaki termasuk bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao, selatan Filipina, 14 Dis lepas.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan hanya berkata "tunggu kenyataan daripada Ketua Polis Negara".

Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan Khamis berhubung perkara itu.-13/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 665  tetamu dan tiada rakan dalam talian