Rab05222013

Kemaskini terakhir01:35:14 PM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Krisis Air Lembah Klang: Syabas cadang catu air di KL, Hulu Langat dan Klang

Krisis Air Lembah Klang: Syabas cadang catu air di KL, Hulu Langat dan Klang

  • PDF

krisisair513Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air yang semakin serius di Lembah Klang.

Justeru itu, Syabas akan mengemukakan pelan tindakan proaktif yang antara lain cadangan catuan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata tindakan proaktif perlu diambil bagi menyelesaikan krisis air yang melanda tiga kawasan berkenaan berdasarkan aduan pengguna.

"Jika diluluskan SPAN, Syabas akan mencatu air di kawasan berkenaan. Kita akan memaklumkan kepada penduduk sebelum melakukan catuan itu," katanya pada sidang media di kawasan perumahan Taman Sungai Besi Indah, Sabtu.

Menurutnya sebanyak 125,075 akaun kilang, rumah dan kedai di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sering menghadapi gangguan bekalan air.

Ruslan mengesahkan bahawa krisis bekalan air sudahpun melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan kapasiti pengeluaran air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) tidak mampu menampung permintaan sejak kebelakangan ini.

Berikutan dengan permintaan yang meningkat, beberapa kolam utama mengalami penurunan paras air sehingga rezab bekalan air bersih kini di tahap kurang daripada tiga peratus, katanya.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan tekanan air rendah sehingga menjejaskan bekalan air kepada kurang sejuta penduduk di sekitar kawasan Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Senario itu, katanya menyebabkan beberapa LRA beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuknya serta berhadapan tekanan untuk memenuhi permintaan.

Sejak sebulan lepas, permintaan bagi air terawat berada pada tahap 4,349 juta liter sehari (JLH) walaupun kapasiti bekalan air yang boleh dikeluarkan serta diagihkan dari kesemua 34 LRA adalah pada 4,371 JLH sahaja.

Ruslan menjelaskan keadaan itu menunjukkan kapasiti bekalan air berada pada tahap kritikal berikutan permintaan air melepasi kapasiti yang boleh diagihkan LRA.

Beliau menegaskan fakta yang dikeluarkan Syabas adalah berdasarkan unjuran sebenar dan pihaknya bersedia mendedahkan segala maklumat yang diperlukan berkaitan krisis itu untuk kepentingan pengguna.

"Ini sejajar dengan tanggungjawab yang telah diamananhkan kepada Syabas untuk mengagihkan bekalan air kepada pengguna seperti termaktub di dalam perjanjian konsesi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kira-kira 1.8 juta pengguna di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami krisis bekalan air sekiranya Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor serta pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum siap menjelang 2014.

Justeru, Ruslan meminta supaya Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Pusat segera berbincang bagi membina Loji Rawatan Air Langat 2 mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya harap rundingan ini akan membuahkan hasil. Jika projek ini diteruskan serta merta, ia mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk disiapkan. Dalam tempoh itu, rakyat semakin bertambah dan menyebabkan permintaan air juga akan meningkat," katanya.

Sementara itu, wakil penduduk kawasan perumahan Taman Sungai Besi Indah, Ho Kok Siong, 61, berkata gangguan bekalan sering berlaku di kawasan itu sejak tahun lepas dan semakin teruk tahun ini.

"Saya minta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor segera selesaikan masalah ini. Kami sudah tidak tahan jika setiap hari tiada bekalan air yang kadang-kala berlarutan sehingga seminggu," katanya yang tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu bercakap kepada wartawan selepas satu majlis di Johor Bharu ,Sabtu Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan Selangor agar lebih praktikal dan pragmatik dalam menghadapi krisis bekalan air di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menjadikan isu itu sebagai isu politik kerana hanya akan menyusahkan rakyat dan negara jika masalah itu tidak diatasi segera.

Ini, katanya bukan soal Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, tetapi melibatkan sejumlah besar penduduk dan pengguna air selain sektor industri dan perniagaan.

"Jadi kesannya bukan sekitar negeri itu sahaja tetapi kesan kepada negara amat besar sekali. Jadi kita minta kerajaan Selangor bersikap praktikal dan pragmatik dengan mengambil langkah segera.

"Jangan jadikan isu ini isu politik atau buat ugutan yang tidak tentu arah," katanya sebagai mengulas kenyataan Abdul Khalid yang disiarkan akhbar hari ini dengan memberi kata dua kepada kerajaan pusat sebagai syarat untuk meneruskan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

Syarat yang ditetapkan termasuk meminta kerajaan pusat tidak menaikkan tarif air serta mengiktiraf RM10.5 bilion aset seperti paip, loji rawatan dan empangan sebagai milik kerajaan negeri.

 Muhyiddin, yang sebelum itu merasmikan majlis penutupan Dialog Nasional Pendidikan Negara di Johor Bharu, berkata proses perundingan berhubung Langat 2 telah lama dijalankan dan bukan satu perkara baru.

"Tidak perlu ada ugutan dan sudah ada banyak kali perbincangan diadakan dan kita telah minta mereka ambil langkah yang amat segera kerana jika Langat 2 tidak dibina, ia akan menjejaskan penduduk dan krisis air akan melanda kawasan tengah di negara ini," katanya. Katanya soal seperti tarif air dan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) aboleh dibincangkan kemudian kerana soal yang lebih penting pada masa kini ialah pembinaan loji berkenaan untuk mengelak krisis air yang teruk.

"Dia (Abdul Khalid) dah tahu cerita sebenar, dia berdolak-dalik berkali-kali, dia kata boleh selesai, kemudian tak nak selesai dan dia minta buat itu ini.

"Jangan sampai dia sudah jadi krisis, jika menjelang 2014, jika projek bekalan air baru tidak disediakan, krisis teruk akan berlaku dua tahun lagi. Jadi kita minta dia segerakan," katanya.-14/7/2012







Punggah... Krisis air dah mula di Selangor, KL dan Putrajaya...



Apa yang ditakuti ramai nampaknya hampir menjadi kenyataan, KRISIS AIR yang sebelum ini diramal berlaku dalam masa beberapa tahun lagi, sebenarnya sudah melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdasarkan situasi terkini permintaan air yang melebihi kapasiti bekalan sedia ada.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Datuk Lee Miang Koi, berkata terdapat empat ciri situasi iaitu yang pertama rizab bekalan air kurang daripada tiga peratus secara keseluruhan di semua negeri (berbanding dengan permintaan purata).

Katanya, apabila berlaku permintaan puncak pada bila-bila masa (yang boleh mencecah tujuh peratus) kapasiti bekalan air tidak dapat menampung permintaan.

"Berdasarkan kepada keadaan terkini iaitu bagi tempoh Mei hingga awal bulan ini, rezab bekalan air secara keseluruhan adalah antara 1.15 peratus hingga kira-kira 2.04 peratus," katanya ketika menyampaikan taklimat pada Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di KL pada Khamis.

Beliau berkata, ciri kedua ialah terdapat perbezaan permintaan dan kapasiti bekalan air antara wilayah yang menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan rendah berterusan melebihi 10,000 akaun pengguna membabitkan 50,000 penduduk di kawasan 'water stressed'.

Katanya, sehingga awal bulan ini, sebanyak 209,678 akaun pengguna merangkumi satu juta pengguna menghadapi masalah gangguan bekalan air.

"Ciri ketiga ialah tempoh gangguan bekalan air berlarutan lebih daripada sebulan bermula pertengahan Mei lalu dan tiada kepastian bilakah masalah berkenaan boleh diselesaikan.

"Ciri terakhir ialah masalah kekurangan bekalan air akan meruncing berikutan peningkatan permintaan air dan tiada kepastian mengenai persediaan peningkatan kapasiti bekalan air," katanya.

Beliau berkata SYABAS sudah memberikan taklimat mengenai cadangan pembangunan kapasiti bekalan air tambahan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan barisan Exco pada 27 Julai 2010, namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga kini.

Malahan, katanya, kerajaan negeri sudah menahan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019 dan tidak perlu untuk membangunkan skim bekalan air yang baru.

Masalah kekurangan bekalan air mula timbul selepas Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor. Kerajaan negeri telah membekukan perbelanjaan modal (Capex) syarikat konsesi akibatnya mereka tidak berupaya meneruskan kerja-kerja penggantian paip yang telah lama dan rosak. Sekali gus menyumbang kepada peningkatan bekalan non-revenue water (NRW) di negeri itu.

“Agak menghairankan apabila kerajaan negeri sengaja membekukan Capex namun pada masa yang sama menuduh syarikat konsesi tidak melaksanakan kerja-kerja untuk menurunkan peratus NRW,” kata Penyelaras BN Selangor Datuk Seri Ir Mod Zin Mohamad Jun lalu.

Menurutnya sikap kerajaan negeri menunding jari kepada syarikat konsesi adalah tidak masuk akal kerana mereka sendiri yang membekukan Capex.

“Sepatutnya kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang memegang 30 peratus saham dalam syarikat konsesi tersebut boleh menyelesaikan masalah Capex namun yang menghairankan mereka menunding jari menyalahkan syarikat konsesi terbabit.

“Tanpa sebarang pelan bersepadu untuk membekalkan air bersih kepada rakyat Selangor, apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri hanyalah kata-kata politik semata-mata,” katanya.

Sebelum ini Agendadaily melaporkan, anjuran Syabas mengenai penggunaan air pada tahun 2012, di mana keperluan dijangka meningkat kepada 4,354 juta liter sehari sedangkan kapasiti air semasa adalah 4,326 juta liter sehari.-12/7/2012


IKLAN

TERHANGAT DIPASARAN, PANGGILAN BIJAK DI DUNIA TELEKOMUNIKASI!!!

ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!!

www.agendadaily.com.

Jom!Pusat Memancing UdangGalah Tuah.

Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.