Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Fri, 10 September 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY



agendadaily@gmail.com

Laman khas himpunan interbiu Agendadaily - SILA KLIK

Puncanya…Wan Azizah


Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Puteri UMNO kalau tak agresif…baik tutup kedai - Azalina

Ali Rustam tak pandang belakang…


Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang 'tak settle'

Saya tidak boleh berfungsi macam Samy Vellu...


Sejenak bersama Yang DiPertua Dewan Negara…

Keluh kesah Presiden BAM...urus syarikat lebih mudah

Susah senang jadi ' referee' di Dewan Rakyat

Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….


Masalah jadi orang Nombor 2




AgendaDaily.com adalah sebuah portal suratkhabar elektronik yang menyalurkan

maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita,laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara. Laman web ini yang sejak Julai 2001 diusahakan oleh ImageWorkfield Sdn Bhd kini dikendalikan oleh Agenda Daily Dot Com. Ia adalah milik penuh aktivis media tempatan dan dilahirkan atas impian untuk menyemarakkan lagi bidang kewartawanan negara ini menerusi pengenalan sebuah portal media yang formatnya mirip suratkhabar harian. Dengan mengambil pendirian yang bebas dan tidak memihak dalam laporannya, AgendaDaily berharap dapat memaparkan sesuatu isu atau kejadian atas asas "pure reporting" agar rakyat negara ini dapat menyelami dan memahaminya dalam perspektif peristiwa itu sendiri. Moga menerusi pengenalan laman web ini, rakyat berbilang kaum Malaysia tidak lagi perlu "tunggu hingga esok" untuk mendapatkan maklumat semasa.


Haji Nasri Bin Ahmad
Pengerusi



Pi mai…pi mai..tang tu – istilah terkenal orang Utara ini melingkari jiwa Haji Nasri Ahmad.Bermula sebagai orang surat khabar dan kini kembali untuk menerajui salah sebuah syarikat media internet terbesar di tanahair.

Lebih daripada itu ia dalam lingkungan kawan-kawan lama ketika mula berkhidmat sebagai wartawan di Bintang Timur, anak syarikat Kumpulan Utusan untuk wilayah Utara yang diterbitkan hujung tahun 1970-an dulu.

Kini dalam usia penuh matang Haji Nasri,yang berasal dari Pulau Pinang telah melangkau jauh dan berjaya dalam hidup sebagai self made man .

Dari Kumpulan Utusan beliau menyertai Penerbitan Mingguan Perdana sebagai Pengarang dari tahun 1980 hingga 1983.

Selepas itu mengendalikan perniagaan perkhidmatan pengiklanan di Pulau Pinang sebelum pada awal tahun 1990 mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dari orang media dan iklan beliau melangkah ke dunia politik apabila dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan selama tiga penggal.

Kemudiannya pada tahun 1993 sebagai Setiausaha Khas kepada Tan Sri Rahim Thamby Chik ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Beliau melangkah lebih jauh selepas itu apabila menjadi Setiausaha kepada Dato' Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan seterusnya Bendahari UMNO Malaysia.

Kini setelah bersara daripada politik, beliau bergiat cergas sepenuh masa dalam dunia korporat dengan mengetuai sebilangan syarikat.

Antaranya ialah TVP Consultancy Sdn. Bhd. yang bergiat dalam bidang latihan penerbangan dan pengurusan, Insan Research and Training Academy iaitu sebuah akademi latihan dan penyelidikan sains kemanusiaan serta N-RICH Advisory yang megendalikan urusan kewangan dan pelaburan.

Kerana jiwa orang media yang masih kuat membara beliau mengambil keputusan untuk menyertai Agenda Daily Dot Com sebagai Pengerusi.

“Penglibatan saya dalam bidang ini semata-mata kerana minat dan ingin membantu rakan-rakan lama mengembangkan lagi media internet yang semakin bersemarak di negara ini. Saya melihat potensi besar dalam bidang ini,”katanya.




Rosli Ismail

Ketua Pengarang


Mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar, beliau memulakan kerjaya awalnya dalam dunia persuratkhabaran bersama akhbar tabloid Bintang Timur terbitan Utusan yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Beliau kemudian berhijrah ke akhbar Watan di Kuala Lumpur sebelum menyertai Utusan Malaysia pada tahun 1978. Beliau kemudiannya dihantar sebagai 'foreign correspondent' Utusan yang pertama di Jakarta dari tahun 1985 hingga 1987.

Sewaktu di sana, selain daripada berita dan rencana serius beliau banyak menyalurkan pengetahuan kepada rakyat Malaysia mengenai corak kehidupan dan karektor
masyarakat Indonesia menerusi ruangannya "Dari Jakarta" yang ditulis dalam bentuk humor dalam akhbar Mingguan Malaysia. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, Rosli telah dilantik sebagai Ketua Pemberita.

Setelah empat tahun menerajui meja pemberita Utusan, beliau kemudiannya dilantik
sebagai Penolong Pengarang Mingguan Malaysia sebelum meletakkan jawatan pada tahun 1993 untuk menjadi wartawan bebas sepenuh masa kerana minatnya ingin terus menjadi wartawan "on the ground " dari terikat dengan jawatan yang memerlukannya terperap di meja - mengurus, menyunting berita dan rencana yang ditulis oleh wartawan lain.

Sepanjang 15 tahun sebagai wartawan Utusan, beliau bukan sahaja pernah ditugaskan membuat liputan hal ehwal politik tanahair Semenanjung malah sehingga
ke Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau juga turut dihantar meliputi lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Tanzania, Malawi, Australia, New Zealand dan Papua New Guinea serta Persidangan Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di New Delhi, Vancouver dan Harare di samping meliputi beberapa persidangan antarabangsa lain seperti Expo Dunia di Brisbane, Australia dan Persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN di Manila.

Beliau juga pernah dihantar oleh Utusan untuk tugasan mencabar seperti liputan pasca perang gerila di sempadan Thailand-Kemboja di mana beliau telah berjaya menjejaki dan menemuramah pemimpin Khmer Rouge yang digeruni, Khieu Samphan dan
konco-konconya. Beliau juga telah dihantar ke sempadan Pakistan-Afghanistan untuk membuat liputan perjuangan gerila Mujahiden menentang tentera Soviet di mana beliau telah menemui salah seorang pemimpin besarnya, Gulbudeen Hekmaktyar di tempat persembunyiannya.

Selain tugas-tugas rasmi sebagai wartawan, untuk menambah pengetahuan dan meluaskan pandangan, beliau turut mengembara sendiri ke beberapa benua termasuk Eropah dan Amerika, Jepun, Hong Kong serta Taiwan. Sebelum mengasaskan AgendaDaily.com bersama-sama rakan wartawannya yang lain,
Rosli turut terlibat dalam melancarkan semula AgendaMalaysia.com pada hujung bulan Mac 2001 setelah operasinya dihentikan selama tiga bulan.

Setelah lebih sebulan bersama AM dan berjaya meningkatkan dengan mendadak jumlah pembacanya, beliau bersama-sama rakan-rakan mengambil keputusan membuka portal media sendiri untuk mewujudkan "pentas" yang lebih selesa untuk berkarya dan meneruskan cita-citanya untuk melaporkan "pure reporting" kepada rakyat Malaysia.
Sebelum menyertai AM beliau adalah penulis jemputan untuk majalah bulanan Gosip - sebuah terbitan yang menyiarkan berbagai=bagai rencana dan analisis serta gosip politik tanah air.


Badrul Hisham Abdul Aziz
Timbalan Ketua Pengarang


Badrul Hisham Abdul Aziz mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia kewartawanan yang ditimba ketika berkhidmat selama 11 tahun dengan Kumpulan Utusan Melayu. Bermula sebagai pemberita kadet pada 15 Februari 1984 beliau meninggalkan syarikat akhbar yang sangat disayangi dan disanjung tinggi itu dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Ketua Penyunting pada tahun 1995.

Ketika berkhidmat dengan Utusan Melayu yang disifatkan sebagai gedung dan menara ilmu kewartawanan dan kemanusiaan beliau banyak mendapat didikan dan tunjuk ajar daripada Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin (ZAM) yang ketika itu menjadi Ketua Pengarang Kumpulan.

Perkhidmatannya di Utusan Melayu membawa beliau melihat beberapa sejarah dunia berlaku dan dicatatkan untuk tatapan umum. Pada tahun 1987 umpamanya, ketika Russia berundur dari Afghanistan, beliau berada di sempadan Kabul menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau memasuki Kabul melalui bandar pelarian di Peshawar, Pakistan.

Pada tahun yang sama, beliau mengikuti rombongan rasmi Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kemboja untuk menghantar sumbangan rakyat Malaysia berupa ribuan nashkah Al-Quran bernilai RM 1 juta. Di sana beliau melaporkan tentang kesan perang saudara yang memundurkan rakyat Kemboja, khususnya di Phonm Penh.

Pada musim haji tahun 1989 beliau berada di tanah suci Mekah bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk (kini Tan Sri) Dr.Yusof Noor dan Menteri Pertahanan,Datuk Seri Najib Tun Razak . Dalam penerbangan menaiki pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Arab Saudi dari Jeddah ke Madinah, tiga daripada empat enjin pesawat itu tiba-tiba tidak berfungsi. Turut berada dalam pesawat itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Gen. Tan Sri Hahim Ali. Allah melindungi mereka kerana pesawat itu dapat mendarat dengan selamat setelah berpatah balik ke Jeddah.

Dua hari kemudian, ketika di Mekah berlaku letupan gas dalam projek ubahsuai Masjidul Haram. Bunyi kuat yang menggegarkan kota suci itu disangka letupan bom, maka bertempiaranlah jutaan umat Islam menyelamatkan diri. Ribuan pula menjadi mangsa kerana terjatuh dan dipijak sehingga maut dan cedera parah. Badrul menyaksikan itu semua sebagai bahan bacaan rakyat Malaysia.

Beliau juga berpeluang mengikuti mesyuarat-mesyuarat besar seperti CHOGM, Mesyuarat Sempadan Malaysia Thailand, kerjasama ASEAN di Bangkok dan juga Filipina dan sebagainya.

Ketika di Utusan Melayu, Badrul juga dijemput oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai panel dan pengerusi program-program seperti Ehwal Semasa dan Forum Perdana. Di samping itu ada juga institusi pengajian tinggi yang menjemput beliau memberi ceramah mengenai kewartawanan.

Dalam akhbar Utusan Malaysia, beliau mempunyai ruangan sendiri iaitu Oh Bahasaku – ruangan kritikan mengenai penggunaan Bahasa Malaysia yang ‘carca-marba’.Ruangan ini kemudiannya ditukar menjadi ‘Menguak Gelombang’ bagi memberi ruang yang luas untuk mengkritik. Ruangan ini bertahan selama lapan tahun.

Pada tahun 1994, beliau dibawa oleh Sultan Selangor ke Florida, Amerika Syarikat Turut sama ialah sultan-sultan Melayu atau wakil baginda dari seluruh Malaysia. Baginda semua ke sana kerana mahu bertanding permainan golf.

Tidak lama selepas itu, Badrul ‘terpaksa’ meninggalkan Utusan Melayu kerana beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional dalam pilihanraya 1995. Dengan hati yang amat berat untuk meninggalkan Utusan beliau melangkah longlai ke dalam dunia politik, tetapi kemenangan dengan majoriti melebihi 37,000 undi mengukuhkan keyakinannya hingga dapat bertahan sehingga 2004.

Sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat, beliau berpeluang menerokai dunia dengan lebih luas. Ini termasuklah berada selama sebulan di Pertubuhan Bangsa Bersatu. Di PBB beliau diberi peluang pula berucap mengenai langkah-langkah serius kerajaan Malaysia membanteras penyalahgunaan dadah.

Ketika menjadi wartawan, beliau hadir sebagai pelapor di mesyuarat CHOGM, tetapi sebagai Ahli Parlimen, beliau hadir di Mauritius sebagai wakil Parlimen dan kerajaan Malaysia.Selain daripada dunia kewartawan dan politik, anak jati Selangor ini bergiat dalam Gerakan Belia 4B Malaysia dan Resque 991 dengan pangkat Lt Kolonel. Perkhidmatan beliau diiktiraf oleh kerajaan negeri Selangor dengan penganugeraan darjah kebesaran ASA dan DPMS daripada Baginda Sultan Selangor.

Badrul Hisham Abdul Aziz pernah menuntut di Victoria Institution, mendapat ijazah sarjanmuda dari Universiti Kebangsan Malaysia pada tahun 1983 dan Doktor Falsafah dari Berkeley International University, California 20 tahun kemudian. Selain daripada wartawan dan ‘hamba rakyat’ Badrul juga pernah menjadi pelayan pejabat, penghantar cepat, jurujual dan pengusaha. Kini beliau adalah PI – bukan Private Investigator, tetapi Penganggur Istimewa!.



Hanafiah Man
Pengarang


Lulusan dalam bidang Mass Comunication ( Kewartawanan) dari UiTM ini memulakan karier di kumpulan akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai wartawan kadet.

Sepanjang di Utusan beliau banyak membuat liputan politik dan meliputi beberapa persidangan antarabangsa di luar negara. Hanafiah pernah di hantar menjadi koresponden Utusan selama dua tahun di Jakarta.

Sebelum meninggalkan Utusan jawatan terakhirnya ialah Ketua Pemberita.

Beliau kemudiannya menyertai 'team' Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebagai Setiausaha Akhbar semasa beliau mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Selepas pilihanraya umum tahun 2004 Hanafiah dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Aziz Shamuddin.

Kerana mintanya pada bidang kewartawan masih mendalam,beliau memutuskan untuk melepaskan jawatan itu dan menyertai Agendadaily.




Roslan Bian
Pengarang Berita


Mula mengenali dunia kewartawan selepas tamat sekolah menengah pada 1980.Stringer Utusan Malaysia di Jerantut, Nazeri Nong Samah adalah rakan akrab sekaligus pendorong awal dirinya masuk ke dunia yang tidak pernah diimpikan kerana cita-cita awal menjadi pegawai polis.

Nasibnya baik apabila Pengarang Berita Harian sekitar tahun 80-an, Hamid Bendahara (allahyarham) mengujinya sebagai stringer daerah. Barangkali, minat penulisan ketika zaman persekolah, berita pertama mengenai kebakaran kedai di Bandar Jerantut, disiar penuh tanpa suntingan.

Bagaimanapun, pada malam sebelum berita pertama disiarkan, beliau hampir tidak tidur kerana tidak sabar untuk melihat sama ada berita itu tersiar atau tidak.

Roslan, anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Jerantut bersebelahan kampung Pulau Tawar yang terkenal dengan kisah Mat Kilau tetapi beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Abdul Rahman Talib (SMART), di Kuantan.

Selain stringer Berita Harian beliau pernah menjadi stringer Bernama. Bagi melengkapkan ilmu untuk menempuh dunia kewartawan yang semakin diminati, beliau menghabiskan masa setahun mengikuti kuesus jurufoto di IKBN, Peretak Kuala Kubu Bharu.

Pada 1983, beliau sempat berkhidmat di Unit Foto Bernama sebelum menerima tawaran kerja daripada A.R Kamaluddin di Harian Nasional yang diterbitkan Datuk Khalid Jefri (kedua-duanya kini allahyarham).

Tugas di Harian Nasional mendedahkan beliau kepada pemberitaan jenayah dan isu semasa. Bab liputan hiburan atau sukan, lupakan saja katanya.

Apabila akhbar ini tutup, beliau diserapkan ke Mingguan Perdana yang mendedahkannya kepada dunia misteri dan kisah-kisah mahkamah syariah.

Namun, kerjaya wartawannya lebih banyak memburu bahan-bahan jenayah malah kes Mona Fandey, tebusan di Penjara Pudu dan Koperal Adam antara pahit manis pernah dilaluinya.

Beliau juga sempat bertugas sebagai Penolong Pengrang Berita Mingguan Islam bersama Datuk Kamaruzaman Zainal (Bekas Setiausaha Akhbar Pak Lah dan kini Pengarah Berita TV3).

Akhirnya beliau kembali kepada Berita Harian apabila tabloid Harian Metro diterbitkan sebagai stringer di Kuala Lumpur.Walaupun bersaing dengan wartawan tetap, boss di Harian Metro seperti Ahmad Puad Onah, Meor dan Datuk Hishamuddin Aun sentiasa memberi ruang berita-beritanya mendapat tempat di muka depan Harian Metro.

Apabila Watan diterbitkan semula sebagai akhbar harian, beliau dilantik Ketua Pemberita seterus naik pangkit sebagai penolong pengarang berita malah pernah mengetuai Biro Watan Perak.Watan memantapkan lagi penulisannya di bidang politik dan apabila Gossip diterbitkan, beliau turut memeriahkan kandungan majalah itu setiap bulan walaupun bukan sebagai wartawan tetap.

Peringkat awal penerbitan Agendadaily, Roslan turut menyumbang tulisan dan akhirnya menerbitkan AgendaSelangor.com pada 2002 ketika Selangor diterajui Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.Bagaimanapun, ibarat sirih pulang ke ganggang, Roslan kembali bagi memantapkan Agendadaily.“Sudah lebih 25 tahun…nak ke mana lagi,” katanya.

Lukman Abdullah

Wartawan Foto

Operasi Lalang 1987 oleh Kementerian Dalam Negeri di mana beberapa pemimpin pemuda UMNO, MCA dan DAP dikenakan tahanan ISA adalah salah satu pengalaman yang masih segar dalam ingatan Lukman yang ketika itu bertugas sebagai wartawan akhbar Watan.

Risiko menjadi penulis berita dan rencana politik memangnya tinggi .Pengalaman selama hampir 10 hari menunggu keputusan KDN sama ada menyumbat wartawan ke Penjara Kemunting atau menarik balik permit penerbitan akhbar amat mendebarkan dan membuatkan tidak lena tidur.

Akhirnya KDN buat keputusan menarik balik permit penerbitan akhbar STAR, Sin Chew Jit Poh dan Watan.Lega dan jadi penganggur terhormat, buat sementara.

Lukman melalui berbagai liku dunia kewartawanan setelah menimba pengalaman awal di Utusan Melayu sebagai Jurugambar Pelatih di bawah program Latihan Sambil Bekerja kelolaan Kementerian Belia dan Sukan pada awal tahun 1982.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini dibesarkan di kampung ayahandanya di Kampung Chenderong Batu, Tumpat, Kelantan sehingga tamat persekolahan darjah enam dan meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki,Kuala Lumpur.

Sebelum menamatkan alam persekolahan peringkat menengah, Lukman aktif menulis berita-berita yang berlaku di sekitar sekolah untuk terbitan Utusan Pelajar (salah sebuah akhbar tabloid terbitan Utusan Melayu). Penulisan berita tersebut mendapat galakkan dan tunjukajar dari Pengarang Utusan Pelajar, Munir Ghazali.

Lukman menyertai akhbar Mingguan Perdana pada awal 1983 seterusnya dilantik sebagai wartawan hiburan di bawah Bahyah Mahmod di akhbar Harian Nasional yang diterbitkan oleh Khalid Jafri.

Usia akhbar harian itu tidak panjang .Pada penghujung beliau berhirjah menyertai akhbar Watan dimana antara lain ditugaskan membuat liputan berita-berita politik tanahair termasuk perhimpunan agung UMNO, pemilihan jawatankuasa bahagian UMNO, fokus kawasan pilihan raya dan isu-isu rakyat.

Berikutan penarikan permit akhbar Watan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1987 kerana melaporkan berita-berita politik yang dikatakan berbau perkauman dan menjejaskan perpaduan antara kaum,Lukman bersama beberapa orang rakan seperjuangan menerbitkan akhbar POS KOTA dan Mingguan Ekspress.

Kemudian menerbitkan pula akhbar dalam majalah - Majalah Nasional pada awal 1990. Sebelum menyertai Agendadaily,Lukman bergiat aktif sebagai wartawan bebas.


Noor Hasilah Ismail
Wartawan

Noor Hasilah Ismail mempunyai 18 tahun pengalaman sebagai wartawan, lima tahun dalam perhubungan awam dan media serta empat tahun dalam pengurusan jenama.

Beliau memulakan karier dalam bidang kewartawanan apabila menyertai akhbar Berita Harian pada 11 Mei, 1981. Kariernya sebagai wartawan semakin berkembang apabila diberi tanggungjawab membuat liputan Festival Filem Asean di Bangkok pada 1982.

Setelah dua tahun bersama unit berita dan dua tahun di unit hiburan, beliau menyertai unit sukan dan diberi tanggungjawab membuat pelbagai liputan bertaraf dunia seperti Piala Thomas, Piala Konica, Pusingan Pra Kelayakan Bolasepak Piala Dunia, Piala Caltex, Sukan SEA, Sukan Padang dan Balapan Asia, Kejohanan Boling FIQ Dunia, Kejohanan Squash Dunia, serta banyak lagi.

Pada 1989 beliau dihantar ke Berita Harian Biro Johor Bahru dan dipertanggungjawabkan membuat liputan politik, sukan dan jenayah. Beliau pernah diberi penghargaan oleh Ketua Polis Johor kerana laporannya yang membantu siasatan jenayah.

Noor Hasilah meninggalkan Berita Harian pada September 1992 untuk mencuba dunia baru dengan menjadi pengurus sukan dan rekreasi Palm Resort Golf & Country Club, di Senai, Johor, tetapi kembali ke Kuala Lumpur dua tahun selepas itu untuk menjadi editor majalah Artis893 dan SmashTimes.

Bagaimanapun syarikat berkenaan hanya dapat bertahan selama dua tahun dan tidak lama kemudian beliau menerima tawaran syarikat rakaman BMG Music (Malaysia) sebagai eksekutif promosi dan perhubungan awam.

Setelah tiga tahun bersama BMG Music, Noor Hasilah dilamar oleh stesen televisyen ntv7 sebagai Pengurus Jenama Program Melayu. Antara program popular yang dikendalikannya ialah Who Wants To Be A Millionaire, Famili Ceria, Spanar Jaya, Istana Takeshi dan Tommy & Oscar.

Pada 2004 Noor Hasilah kembali ke dunia kewartawan sebagai editor majalah SportsUnite dan dua tahun berikutnya dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai editor Majalah NFC (Majlis Kecergasan Kebangsaan).

Sebaik kontraknya berakhir pada Mac 2008, beliau kembali melakukan kerja-kerja perhubungan awam dan media serta terjemahan buku, iklan dan sarikata televisyen secara bebas. Noor Hasilah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, menyertai Agendadaily sepenuh masa sejak November 2008.




Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.