Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Tue, 09 February 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT DAN EMAIL KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Reme Ahmad
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY
- test section



KLIK UNTUK SITUASI TERKINI INFLUENZA A (H1N1)


KLIK SINI UNTUK PERBANDINGAN HARGA DARI LAMAN KPDNHEP




|




Agenda Daily: Mahu tahu…ini syaratnya…

Mahu tahu…ini syaratnya…

Ahli parlimen Barisan Nasional kawasan Kota Belud,Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan sedia menjawab cabaran ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat kawasan Gombak,Selangor,Azmin Ali untuk mendedahkan dakwaanya tentang cubaan menyogoknya bagi melompat ke pembangkang.

Syaratnya ialah Azmin perlu terlebih dahulu mendedahkan nama 30 orang Ahli Parlimen BN yang mereka dakwa akan melompat ke PKR.

Mengulas cabaran Naib Presiden PKR itu Jumaat,Rahman berkata mungkin Azmin bermain dengan teka teki itu beranggapan ia satu strategi perang saraf tetapi realitinya ia satu perbuatan yang boleh mengugat kestabilan dan ekonomi negara.


Rahman yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menilai ini kerana para pelabur dna ahli perniagaan semuanya akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan tidak mahu melabur dalam keadaan yang tidak menentu akibat teka teki isu melompat parti ini.

“Yang menanggung akibatnya ialah rakyat kesan dari ketidakstabilan ekonomi negara,”katanya.

Azmin yang bercakap kepada para wartawan di lobi parlimen Khamis mencabar Rahman membuktikan dakwaannya tentang bila, siapa dan jumlah yang ditawarkan sogokan lumayan supaya Ahli Parlimen BN lompat parti.


''Buktikanlah.. bercakap siapa pun boleh bercakap... saya cabar Kota Belud buktikan jumlahnya, tarikhnya dan siapa orang perantara yang disebut itu," katanya.

Sementara itu ditanya apakah Ahli Parlimen Kota Belud itu termasuk dalam senarai mereka yang akan menyertai pembangkang, Azmin berkata: ''Kota Belud..? Dia perasan saja.. Kita (PKR) tak perlu orang yang bercakap soal wang dan rasuah.

''Pada kita mana-mana Ahli Parlimen BN yang bercakap tentang ganjaran kewangan untuk mereka menyertai pembangkang, kita akan keluarkan nama mereka dari senarai termasuk dari Kota Belud jika ada."

Kata Azmin pakatan pembangkang tidak akan sesekali beri sogokan kewangan.

''Mereka (UMNO) ingat kita tawarkan rasuah dalam hal ini (melompat parti) kerana itulah amalan mereka selama ini," katanya.

''Kita hanya menawarkan satu bentuk pakej pembangunan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Sarawak. Siapa yang tidak mahu tawaran royalti minyak 20 peratus berbanding hanya lima peratus oleh BN," ujarnya.

Rahman memberitahu para wartawan di lobi parlimen beliau ada menerima tawaran dari pihak tertentu baru-baru ini yang akan membolehkannya hidup senang beberapa generasi supaya melompat parti.

"Oh...jumlahnya cukup besar...saya akan beritahu bila tiba masanya nanti...dua tiga generasi senang,"katanya.

Beliau enggan memberitahu jumlahnya tetapi menyifatkan tindak tanduk berkenaan sebagai tidak bermoral.

Katanya pihak tertentu itu mengajaknya mengorak sejarah untuk menumbangkan kerajaan BN.

"Kata mereka kerajaan BN korup..rasuah...saya kata cara ini pun korup,"ujar Rahman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Sabah , Abdul Razak Jamil Jumaati membuat laporan polis di Balai polis Karamunsing dekat Kota Kinabalu terhadap Rahman Dahlan kerana dakwaannya.

Beliau meminta polis menyiasat sama ada dakwaan itu menyalahi peruntukan Akta Kanun Keseksaan dan Akta Pilihan Raya.

"Kita mahu beliau mengemukakan bukti. Sesiapa pun boleh buat dakwaan dan jika beliau gagal berbuat demikian ia adalah satu perbuatan fitnah semata-mata untuk mencemar imej parti,” katanya - 16/5/2008



---------------------------



Babak pertama lompat parti...debaran berlalu

Hari Rabu berlalu macam biasa...walaupun ada yang mendakwa dan yakin akan berlakunya perubahan landskap politik negara dengan kemungkinan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti, hakikatnya suasana di Parlimen tenang-tenang saja.

Wartawan Agendadaily yang memerhati suasana di beberapa lokasi sekitar Parlimen dari waktu sidang Dewan Rakyat bermula jam 9 pagi hingga selesai lewat jam 9 malam Rabu tiada sesuatu 'pergerakan' yang boleh mencuri perhatian.

Cuma lewat pagi mereka yang masuk ke kantin Parlimen kelihatan tertarik pada kelibat dua Ahli Parlimen - Datuk Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) dan Khairy Jamaluddin ( BN-Rembau) sedang serius berbual di satu sudut di situ.

Dalam pada itu kalangan para wartawan yang bertugas di Parlimen bertumpu untuk mendapatkan komen dari siapa saja Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang mereka kenal.

Jika sebelum ini Agendadaily melaporkan beberapa Ahli Parlimen BN telah menegaskan mereka tidak akan melompat parti, hari Rabu empat lagi Ahli Parlimen yang ditemui bukan sahaja mereka tidak akan lompat parti malah memberi jaminan akan terus bersama BN.




Ahli Parlimen Kota Belud,Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan yang ditemui di lobi Parlimen turut mendakwa beliau ada menerima tawaran dari pihak tertentu baru-baru ini yang akan membolehkannya hidup senang beberapa generasi supaya melompat parti.

"Oh...jumlahnya cukup besar...saya akan beritahu bila tiba masanya nanti...dua tiga generasi senang,"katanya.

Beliau enggan memberitahu jumlahnya tetapi menyifatkan tindak tanduk berkenaan sebagai tidak bermoral.

Katanya pihak tertentu itu mengajaknya mengorak sejarah untuk menumbangkan kerajaan BN.

"Kata mereka kerajaan BN korup..rasuah...saya kata cara ini pun korup,"ujar Rahman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.

Presiden PBRS yang juga Ahli Parlimen Pensiangan,Sabah Tan Sri Joseph Kurup berkata partinya tidak pernah terfikir langsung nak menyertai pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Papar,Sabah Rosnah Abdul Rashid ketika ditemui mengesahkan beliau ada menerima mesej melalui SMS daripada pihak tertentu untuk menemuinya ‘sembang-sembang’ .

Beliau menduga ia mesti berkaitan dengan usaha untuk mempengaruhinya menyertai pakatan pembangkang membentuk kerajaan yang baru.

“Saya memang ada menerima SMS daripada mereka yang mahu berjumpa untuk berbincang… saya tidak melayani SMS berkenaan dan tidak berhasrat pun untuk menemui mereka,” katanya.

Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia itu adalah antara beberapa nama yang disebut dalam isu ‘lompat parti’ yang hangat diperbualkan kebelakangan ini.

Seorang lagi Ahli parlimen yang namanya turut hangat di pasaran ialah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Tiki Lafee.

Beliau yang merupakan salah seorang pimpinan parti SPDP adalah Ahli Parlimen Mas Gading, Sarawak.

Ketika diaju soalan adakah beliau antara mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN, Dr. Tiki berkata, kesetiaanya kepada BN adalah 101 peratus.

“Memang ada orang Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan saya. Mereka tidak membuat tawaran secara langsung tetapi meminta kerjasama dan mengharapkan sokongan Ahli parlimen dari Sarawak dan Sabah untuk sama-sama dengan mereka bagi mencukupkan jumlah yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru,” katanya.

Namun tegas beliau, beliau telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan memberikan jaminan bahawa beliau akan tetap setia bersama BN.

“Bagi diri saya dan para pengundi di kawasan saya, kami adalah orang BN dan akan terus kekal sebagai orang BN,” tambah beliau.

Beliau tidak menolak andaian bahawa kemungkinan disebabkan beliau digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri menyebabkan timbul tanggapan bahawa beliau kecewa dan akan menyertai pembangkang.

“Mereka boleh kata atau buat andaian apa sahaja tapi saya adalah Ahli parlimen BN,” tegasnya.

Sementara itu, Ghafur orang yang paling lantang bersuara di dalam Dewan Rakyat mengenai isu Sabah sehingga membangkitkan soal penubuhan parti baru ketika dihampiri Agendadaily semasa sedang berbual dengan Khairy di kantin Parlimen tidak menunjuk tanda-tanda akan bertindak seperti yang diramalkan oleh sesetengah pihak.

"Saya bukan jenis lompat parti, yang saya inginkan ialah isu-isu rakyat dan negeri Sabah perlu diselesaikan segera," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan ,Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata di sidang media selepas mengadakan taklimat Kementerian Pelajaran di Bangunan Parlimen petang Rabu bahawa beliau yakin sekalipun adanya kes-kes yang membuatkan wakil rakyat BN di Sabah tidak puashati tetapi mereka tidaklah tergamak lompat parti.

IMenurutnya ini kerana mereka kena menerima hakikat bila mereka bertanding serta mendapat sokongan di atas tiket dan flatfom BN.

Diminta mengulas usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik anggota Parlimen BN menyertai pakatan pembangkang, Hishammuddin menganggap Penasihat PKR itu telah mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat serta sokongan pada pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka memperjuangkan nasib pengundi.

"Apa yang mereka buat hanya bergerak untuk memujuk wakil rakyat BN untuk sertai partinya, mana janji-janji yang dilaungkan semasa kempen pilihan raya lalu," tambahnya.

Kata Hishammuddin Anwar sekarang sedang mengubah harapan dari minggu ke minggu yang kononnya bakal menumbangkan kerajaan BN.

“Saya difahamkan hari ini (Rabu) kita sepatutnya sudah ada kerajaan baru, tapi saya masih lagi bekerja dan menerajui Kementerian Pelajaran",katanya.

"Rakyat sudah penat dengan apa yang beliau lakukan. Tiada apa yang beliau lakukan untuk kesejahteraan rakyat tapi hanya menimbulkan jangkaan bila beliau akan jadi Perdana Menteri dan berapa ramai anggota Parlimen BN akan melompat parti.

"Saya ingin mengingatkan, Anwar hanya memikirkan 30 orang anggota Parlimen tapi kita hanya memerlukan dua orang saja di Perak, tapi kita tidak memberi tumpuan dan masa hanya untuk mendapatkan dua orang itu untuk memerintah Perak." ujarnya.- 14/5/2008

----------------------------





Pemain utama isu lompat parti kata ada 'dua tingkap' menjelang Ogos

Cakap-cakap lompat parti yang melibatkan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berlaku makin hangat ekoran kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang memberikan kiasan politik mengenai perkara berkenaan.

Parti kecilnya di Sabah itu mempunyai hanya dua Ahli Parlimen.Namun Teck Lee dikenalpasti merupakan salah seorang key player dalam isu ini.

Malah menurut sumber yang layak dipercayai ada kemungkinan juga kalangan Ahli Parlimen BN di negeri itu tidak melompat masuk Parti Keadilan Rakyat tetapi masuk ke dalam SAPP saja.

Katanya menerusi parti itu mereka akan mempunyai bargaining power yang lebih besar sebagai entiti tersendiri dari melompat ke dalam PKR jika hendak menyertai pembangkang.

Ditemui Agendadaily di bangunan Parlimen Selasa Teck Lee tidak berselindung kata jika selama ini isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah yang sudah berlarutan lebih 20 tahun tidak begitu diberikan perhatian, kini ia menjadi isu nasional apabila wujudnya ‘ancaman’ lompat parti akan berlaku.

Bagi beliau ada dua ‘tingkap’ yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan dengan segera.

Tingkap pertama ialah peluang bagi kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dan jika peluang ‘tingkap’ pertama itu tidak dimanfaatkan maka ‘tingkap’ kedua akan terbuka iaitu kemungkinan berlakunya lompat parti.

Beliau memberikan bayangan ‘tingkap’ pertama tersebut mesti diselesaikan menjelang Ogos akan datang.

Pagi Selasa, Teck Lee difahamkan telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, beliau enggan mengulas tetapi memberi bayangan bahawa pertemuan itu hanya memberikan beliau penegasan semula bahawa usaha-usaha sedang diambil bagi menangani isu-isu rakyat dan negeri Sabah yang dibangkitkan.

“Saya cuma mendapat penegasan semula daripada pertemuan itu dan tiada sesuatu yang kukuh diberikan,” ujar beliau.

Bagaimanapun jelasnya, beliau akan memberikan masa kepada pucuk pimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul sesuai dengan jaminan usaha-usaha sedang diambil.

Menjawab soalan mengenai isu lompat parti, Teck Lee ulangi bahawa isu sebenarnya bukan soal lompat parti tetapi pelaksanaan janji-janji pembangunan untuk Sabah.

Cumanya tambah beliau, isu yang melibatkan rakyat dan negeri Sabah menjadi hangat ekoran adanya kemungkinan lompat parti yang berlaku.

“Selama ini, isu-isu Sabah tidak mendapat perhatian. KIni bila muncul cerita akan berlakunya lompat parti barulah isu-isu Sabah ini menjadi penting... kenapa… sebab ia akan menjejaskan kedudukan BN dan kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Ditanya sama ada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menemui beliau, Teck Lee enggan mengesahkannya tetapi dengan tersenyum hanya memberitahu: “Sebagai pemimpin politik kita kena bertemu dan berdialog selalu demi kepentingan rakyat”.

Mengenai tarikh 16 September yang disebut oleh Anwar sebagai tarikh akan berlakunya perubahan politik negara ini, Teck Lee berkata, Anwar mempunyai kelebihan memainkan sentimen sebab tarikh itu amat bermakna bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana ia bersempena dengan penubuhan Malaysia.- 13/5/2008

------------------------------






Apa dah jadi...?

Ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya petang Isnin dimana beliau masih lagi mempertahankan dakwaannya sudah mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan bersamanya membentuk kerajaan baru...di Dewan Rakyat lain pula suasananya.

Nama-nama yang disebut akan berhijrah menyertai Anwar, satu persatu membuat penegasan mereka bukan sahaja akan tetap bersama BN tetapi menafikan akan menjadi penumpang kerajaan baru Anwar tersebut.

Malah ada yang memberi penegasan yang dicari ialah keadilan bukan Parti Keadilan dan menyifatkan dakwaan Ahli-Ahli Parlimen BN dari Sabah yang paling ramai akan melompat sebagai satu penghinaan kepada mereka.

Antara mereka yang berada dalam senarai teratas, kumpulan yang didakwa akan melompat parti secara terbuka membuat penafian kepada Agendadaily ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden, Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr,. Makin Marcus Mojigoh, Ahli Parlimen Arau dan Datuk Ismail Kassim. Manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mengambil sikap tidak mahu membuat ulasan.

Menurut mereka, walaupun suara mereka di dalam Dewan Rakyat macam pembangkang itu tidak bererti mereka akan menyertai pembangkang tetapi sebaliknya melahirkan suara akar umbi dari Sabah yang mengharapkan kerajaan berlaku adil kepada mereka. - 12/5/2008


-------------------------

Ini satu penghinaan




Anifah Aman menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk melompat parti apatah lagi hendak menyertai pakatan pembangkang dan menyifatkan dakwaan ada yang akan lompat parti satu penghinaan kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah.

“Buat masa ini saya tidak pernah berjumpa dengan pembangkang. Saya tidak ada niat untuk melompat parti seperti yang didakwa,” katanya kepada Agendadaily hari Isnin di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataanya semasa mencelah perbahasan menjunjung kasih atas titah Diraja Ahli Parlimen Tuaran dengan menyatakan, isu-isu berkepentingan rakyat Sabah kini tenggelam ekoran adanya dakwaan ada Ahli Parlimen BN akan melompat parti.

Anifah yang sebelum ini menolak perlantikan sebagai Timbalan Menteri menjadi tumpuan dalam isu melompat parti kerana kononnya beliau tidak berpuashati dengan kepimpinan dan parti.

Malah kenyataan keras beliau mengenai nasib rakyat dan negeri Sabah menghangatkan lagi spekulasi seolah-olah kenyataan kerasnya itu member indikasi bahawa beliau akan meninggalkan BN.

Terdahulu semasa mencelah perbahasan, beliau berkata banyak isu-isu penting mengenai Sabah ditenggelami dengan dakwaan melompat parti dan dakwaan itu merupakan satu penghinaan kepada mereka.


Saya tak jumpa Anwar




Ghapur Salleh pula menafikan beliau ada menemui penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

"Orang lain saya tidak tahu tapi saya tidak ada jumpa dia," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas mengenai cakap-cakap akan berlaku lompat parti di kalangan Ahli Parlimen BN ke pakatan pembangkang dan beliau adalah antara nama yang disebut-sebut salah seorang daripadanya.

Menurut beliau, tidak ada sebab untuknya melompat parti jika masalah yang ada sekarang boleh diselesaikan oleh kerajaan.

"Bagi saya tidak guna kita dengar janji di luar jika kerajaan ini boleh selesaikan masalah yang ada," jelasnya.

Terdahulu semasa berucap membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, beliau melahirkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah terhadap cara kerajaan mengendalikan masalah yang timbul di negeri itu.

Katanya, Sabah telah dianak tirikan bukan sahaja dalam soal perlantikan menteri Persekutuan dari Sabah tetapi juga dalam soal pembangunan.

Beliau turut memberi amaran, sekiranya kerajaan sekarang tidak memperbetulkan hal-hal yang berlaku, beliau yakin pada pilihan raya akan datang rakyat akan menghukum BN.

Beliau juga menolak perbuatan melompat parti tetapi tidak menolak kemungkinan dalam usaha penubuhan parti baru.

Mereka boleh buat spekulasi



Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar berpendapat, pihak-pihak tertentu boleh membuat spekulasi dengan cuba mengaitkan dirinya sebagai salah seorang yang akan menyertai parti pembangkang.

Katanya, beliau bukan sahaja tidak akan mengambil tindakan mengkhianati rakyat yang memilihnya sebagai wakil rakyat BN malah menolak sebarang kemungkinan lompat parti itu akan berlaku.

"Isu besarnya bukan soal lompat parti tetapi ialah harapan rakyat Sabah agar kerajaan menunaikan janji yang dibuat. Memang ada orang yang kecewa tetapi tidak sampailah nak keluar parti. Apa yang mereka mahu ialah suara mereka didengar dan segala janji yang dibuat ditunaikan.

"Kita sudah jumpa Perdana Menteri dan sampaikan harapan kita. Ada janji yang dibuat jadi kita harap janji-janji itu ditunaikan," jelasnya.


Dakwaan hanya nak pecah belahkan perpaduan



Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi turut menegaskan beliau tidak ingin pun untuk menyertai pembangkang kerana isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah soal nasib rakyat dan negeri Sabah.

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN dari Sabah yang disebut-sebut akan melompat parti, beliau berkata, isu melompat parti tidak akan terjadi kerana dakwaan tersebut penuh dengan muslihat politik.

“Dakwaan melompat parti ini hanya bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan kita,” katanya kepada Agendadaily.

Menurut beliau, isu utama bukanlah soal melompat parti tetapi keseriusan kerajaan membantu rakyat dan negeri Sabah yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Antaranya kata beliau, ialah soal kemiskinan yang masih lagi menjadi isu utama yang perlu diberikan perhatian di samping isu-isu pembangunan.

“Yang kita mahu ialah keseimbangan pelaksanaan program pembangunan kerana sokongan rakyat kepada BN bukan sedikit. 140 kawasan Parlimen satu jumlah yang besar dan kukuh. Dengan itu jangan kita tenggelam dengan isu lompat-melompat kerana ada perkara yang lebih besar perlu diberikan keutamaan,” ujar beliau.

Ini semua sampah



Ahli Parlimen Putatan, Dr. Makin pula menganggap cerita kononnya ada di antara mereka akan melompat parti dan menyertai pakatan pembangkang adalah 'sampah'.

Katanya, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian malah memilih untuk meletakkan jawatan sekiranya kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak dapat melaksanakan janji-janji pembangunan yang sepatutnya telah lama dilaksanakan di Sabah.

"Kami adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat daripada parti yang memerintah. Apa yang kami tuntut ialah pelaksanaan segala janji pilihan raya yang telah dibuat sejak dahulu lagi, bukan soal kami nak lompat parti," jelasnya.

Saya tiada keinginan



Ahli Parlimen Arau, Ismail Kassim yang turut disebut-sebut sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN yang akan 'melompat' menyertai pakatan pembangkang menegaskan, beliau tidak punya keinginan untuk berbuat demikian.

Katanya, tidak ada sebarang perundingan atau perjumpaaan yang melibatkan dirinya berhubung dengan perkara itu.

"Ini cuma khabar angin," katanya.

Malah beliau menambah, jika diikutkan cakap-cakap, ramai lagi Ahli Parlimen BN yang disebut-sebut akan menyertai pembangkang.

Selain itu jelasnya, jika ada pun mereka terserempak ia tidak harus ditafsir sebagai adanya rundingan.

Nama beliau dikaitkan akan melompat kerana kononnya beliau tidak berpuashati dengan kepiminan BN yang tidak melantik semula abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis.


Saya tak ada komen




Sementara itu, Ahli Parlimen BN kawasan Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mengelak untuk memberikan sebarang ulasan mengenai isu adanya Ahli Parlimen BN khususnya dari Sabah akan melompat parti menyertai pakatan pembangkang.

Agendadaily yang menemuinya di Parlimen meminta ulasan beliau kerana namanya disebut-sebut oleh pihak PKR sebagai wakil dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menemui Anwar di luar negara baru-baru ini.

"Saya tidak ada komen mengenai perkara itu buat masa ini," katanya. - 12/5/2008


---------------------------------





Apa cerita sidang akhbar Anwar….


Terdapat sikit hu ha bila tersebarnya pengumuman Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim nak adakan sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya jam 2.30 petang Isnin.

Pengumuman itu menjadi perbualan bukan saja dikalangan para wartawan dan orang politik tetapi sebilangan ahli parlimen yang sedang menghadiri sidang Dewan Rakyat juga tertanya-tanya apa ceritanya.

Ada juga yang menduga kemungkinan sesuatu ‘ berita besar’ akan muncul dari sidang akhbar itu berdasarkan timing nya dalam senario hangatnya spekulasi kemungkinan ada ahli parlimen Barisan Nasional yang nak melompat ke pembangkang.

Kira-kira 30 orang wartawan dan jurugambar serta dari agensi berita asing hadir pada sidang akhbar itu.

Anwar muncul bersama Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali dan Dr Jeffery Kittingan di ruang tamu rumah banglo yang dijadikan pejabatnya itu sambil dengan nada jenaka bertanya mereka ‘ ada apa berita yang menarik.’

Beliau memulakan sidang akhbarnya dengan membacakan satu kenyataan ringkas berhubung dengan laporan Suruhanjaya Diraja mengenai kes klip video VK Lingam yang sudah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Kenyataan itu nampaknya tidak begitu menarik minat para wartawan sehingga beliau terpaksa meminta soalan pertama difokuskan kepada hal itu dulu.

Ini bila mana wartawan pertama yang nak bertanya soalan berkata bolehkan dia kemuka soalan lain dari isu itu yakni mengenai isu lompat parti.

Setelah menjawab beberapa soalan mengenai kenyataannya tentang laporan suruhanjaya itu para wartawan mula tumpu menembak berbagai soalan khusus mengenai spekulasi terbaru tentang lompat parti.

Antaranya mereka nak tahu betulkah sesuatu akan berlaku pada hari Rabu ini merujuk kepada satu laporan Agendadaily tentang kemungkinan 17 orang ahli parlimen BN kebanyakannya dari Sabah nak melompat Rabu ini.

Apapun sepanjang sidang akhbar itu Anwar tidak dapat memberi sebarang indikasi yang meyakinkan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam masa terdekat.

Beliau sebaliknya banyak bermain dengan teka teki dan mengulangi kenyataannya yang pernah dibuatnya sebelum ini bahawa pakatan pembangkang akan dapat membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.

Penasihat PKR itu juga mempertahankan dakwaannya bahawa mereka sudah ada dalam tangan jumlah ahli parlimen BN yang mencukupi untuk tujuan itu dan hanya menunggu masa.

Ditanya kalau sudah cukup kenapa langkah membentuk kerajaan itu tidak dibuat sekarang,Anwar memberi alasan sesuatu perubahan besar perlu dibuat dengan teliti dan tidak boleh tergesa-gesa.

"Saya sudah jelaskan, biar UMNO dan BN buat spekulasi masing- masing. Kita ambil langkah mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur dan kita akan umumkan pada waktu yang tepat,”katanya.

Anwar secara sinis berkata beliau tidak mahu umum diketika UMNO dalam keadaan kelamkabut menghadapi macam-macam hal sekarang akan akan menunggu waktu mereka ‘tengah selesa’.

Beliau juga memberi alasan mahu isu ini diperbahaskan secara meluas di seluruh negara agar tidak menimbulkan ketegangan bila ia berlaku.

Ditanya tentang soal itu Anwar berkata beliau yakin tidak berlaku huru hara dalam negara bila kalangan ahli parlimen BN melompat parti kelak.

Menurutnya ini terbukti dengan keadaan aman di empat negeri lagi yang berjaya di tawan oleh pembangkang semasa pilihanraya 8 Mac lalu.

Menjawab soalan lain Anwar berkata mereka memberi kebebasan kepada mana-mana ahli parlimen BN yang nak melompat membuat pengumuman itu secara bersendirian dari masa ke semasa menjelang 16 September ini.

Katanya hanya apabila tiba masanya bila nak buat ‘pengumuman besar’ baru beliau akan tampil.

Menjawab satu lagi soalan tentang kemungkinan BN membubarkan parlimen untuk mengelakkan peralihan kuasa melalui langkah lompat parti, Anwar berkata mereka sedia berdepan dengan kemungkinan itu.

Namun katanya jika pilihanraya semula hendak diadakan ia tidak harus dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sedia ada.

Katanya jika pilihanraya semula diadakan beliau yakin BN akan kalah teruk.

Ditanya pula tentang pandangan bahawa para pengundi di sesuatu kawasan yang mengundi BN berhak memprotes jika ahli parlimen mereka melompat kerana mereka telah mengundi calon BN, beliau menjawab sebagai negara yang amalkan demokrasi mereka berhak memprotes.

Ditanya tentang pendirian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak setuju dengan tindakan lompat parti kerana menggangap perbuatan itu tidak ‘ manusia’ ,Anwar berkata beliau ada bercakap mengenainya dengan Menteri besar Kelantan itu.

Beliau mempertikaikan pandangan yang mengatakan tindakan melompat parti ini tidak bermoral.

Anwar mendakwa banyak penipuan berlaku semasa pilihanraya umum baru ini termasuk pembatalan pengunaan dakwat pada jari.

Diminta mengulas pandangan bahawa beliau berusaha habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan BN sekarang semata-mata kerana bercita-cita nak jadi Perdana Menteri, Anwar secara sinis menjawab, “ Najib nak jadi Perdana Menteri,Muhyiddin nak jadi Perdana Menteri you tak tanya...I nak jadi Perdana Menteri jadi masalah...pasal apa ?”.- 12/5/2008


----------------------------------------

Saya pegang cakap Mursyidul Am - Timbalan Presiden PAS


Gamat mengenai isu lompat parti selama ini hanya kedengaran daripada sebelah pihak Parti keadilan Rakyat (PKR). Sekutu rapat PKR iaitu PAS nampaknya sehingga kini masih belum membuat sebarang pendirian.

Bagi mendapatkan gambaran apakah sentimen sebenar PAS, Agendadaily hari Isnin telah menemui Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Md. Isa yang dalam perbualan ringkas dengannya, beliau berkata: “Secara peribadi saya berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat”.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan perbuatan melompat parti sebagai tindakan yang tidak bermaruah.

‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat. Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya pada 22 Mac lalu di Kota Bharu.

Menurut Nasharuddin, secara keseluruhannya usaha PKR khususnya penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang tidak lagi dibincangkan secara rasmi oleh parti itu.

Malah kata beliau, pihaknya masih lagi meneliti perkembangan tersebut secara teliti sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya.

“Kita akan lihat dan kaji dahulu sama ada perubahan tersebut membawa kebaikan atau tidak,” jelasnya.


Ditanya apakah penada aras bahawa melompat parti itu membwa kebaikan, Nasharuddin berkata, ia sesuatu yang agak sukar untuk ditentukan.



Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai perkara yang sama memberitahu Agendadaily di lobi bangunan Parlimen, pihaknya akan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat berhubung dengan isu melompat parti ini.

Katanya, belum ada pendirian rasmi PAS mengenai perkara berkenaan kerana semua aspek yang melibatkan isu tersebut sedang diteliti. – 12/5/2008


-------------------------

Shafie nafi anggota BN Sabah lompat parti Rabu ini

Anggota Parlimen Semporna Datuk Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan satu kiriman pesanan ringkas (SMS) mengenai 17 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata dakwaan itu sama sekali tidak benar, sungguhpun beliau mengakui bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah yang sering didengari kini.

"Ia tidak benar, tetapi kita memang tahu ada sentimen ketidakpuasan hati rakyat di Sabah yang mahukan perubahan di negeri itu terutamanya dalam aspek kemudahan prasarana yang minta dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat Istana Budaya di Kuala Lumpur Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menerima SMS kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata pihaknya memahami akan keluhan dan lontaran suara rakyat negeri Sabah yang menuntut perubahan dan meminta rakyat negeri di bawah bayu itu supaya bersabar memandangkan pelaksanaan sesuatu perubahan itu mengambil sedikit masa.

Bernama melaporkan Shafie berkata pertukaran parti bukan sesuatu perkara mudah serta ringan, dan ia harus mengambil kira beberapa faktor penting.

"Apa jaminan yang diperolehi jika lompat parti... BN sudah lama wujud hasil dari gabungan semua kaum tetapi parti pembangkang adalah hasil gabungan PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP, kita kena fikir," katanya.

Shafie meminta masyarakat supaya tidak mempercayai khabar-khabar angin itu dan berkata tumpuan kini adalah untuk membangunkan negeri Sabah.

Terdahulu Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata Istana Budaya merupakan satu platform dalam penyebaran dan pengembangan seni budaya tempatan ke medan antarabangsa.

"Justeru Istana Budaya harus kreatif dalam memilih karya-karya yang mempunyai unsur tradsional dan moden untuk dipentaskan kepada umum, terutama dalam menarik minat generasi muda untuk mencintai seni budaya," katanya.- 12/5/2008

--------------------------------



Asal jadi semasa sidang Dewan Rakyat kali ini

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan sudah mendapat jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mencukupi untuk menyertai pakatan pembangkang tetap meletakkan harapan ‘penghijrahan’ tersebut akan berlangsung pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 27 Mei ini.

Sumber PKR memberitahu, segalanya hanya bergantung kepada soal masa dan jika jumlah yang ‘berhijrah’ itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang baru sekali pun ia tetap akan dilaksanakan.

Difahamkan, bagi PKR ‘penghijrahan’ itu mesti berlaku tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat kerana ia akan menjadi kemenangan moral dan mengesahkan bahawa mereka memang mempunyai sokongan daripada Ahli Parlimen BN untuk bersama-sama dengan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun sumber lain menyebut, soal penghijrahan Ahli Parlimen BN untuk menyertai pakatan pembangkang masih mempunyai halangan yang besar iaitu “apa pendirian PAS” sebagai sekutu politiknya.

Ini berikutan kenyataan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan perbuatan melompat parti.

Malah Nik Abdul Aziz menyifatkan wakil rakyat yang bertindak demikian bukan lagi ‘manusia’.

‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat.

‘‘Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya pada 22 Mac lalu di Kota Bharu.

Malah dalam Lujnah Politik PAS sendiri, hanya beberapa orang sahaja yang condong untuk menyokong tindakan PKR Itu manakala majoritinya tetatp berpendirian sama dengan Nik Abdul Aziz. - 11/5/2008


----------------------------



Musa Aman kata mengarut, jangan percaya

"Mengarut dan jangan percaya" itulah reaksi Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman apabila dilontarkan pertanyaan berhubung dakwaan seramai 14 Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya dari Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.

Menurut beliau, cerita-cerita yang menyatakan akan adanya Ahli parlimen BN melompart parti meninggalkan BN hanyalah khabar angin.

“Itu rumours … keadaan terkawal … jangan percaya,” katanya semasa ditemui Agenda Daily selepas majlis sambutan ulantahun ke-62 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari Ahad.

Sementara itu Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika ditanya mengenai perkara yang sama berkata, beliau tidak nampak sebarang petanda bahawa perkara itu akan berlaku.

Malah katanya, jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membentuk kerajaan dengan cara mengajak Ahli Parlimen BN menyertai mereka, ia adalah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh parti itu sendiri.

Kononnya PKR kata beliau, wujud atas kekuatan moral tetapi jika mereka ingin berkuasa dengan cara begini, ia adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Beliau juga menyifatkan cerita mengenai adanya yang mungkin melompat parti ini hanya banyak dibicarakan oleh PKR sedangkan PAS dan DAP sendiri tidak menyatakan pendirian mereka kerana yang jelas kedua-dua parti pembangknag itu tidak bersetuju dengan mainan politik tidak bermoral tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Agenda Daily yang menemui beberapa pemimpin UMNO dapat membuat kesimpulan bahawa tiada siapa yang menafikan laporan akan berlakunya kegiatan melompat parti. Namun mereka semuanya menzahirkan keyakinan ia tidak akan berlaku.

Malah Agenda Daily juga difahamkan usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan Ahli-Ahli Parlimen BN yang dikatakan sudah 'dirundingi' oleh pihak-pihak tertentu agar mereka terus bersama BN. - 11/5/2008


--------------------

Awasi hari Rabu


GEMPAR: Seramai 17 Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan hampir pasti akan menyertai pakatan pembangkang, Rabu ini.

Menurut sumber yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang layak dipercayai, perkara itu bukan lagi perang saraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sebaliknya satu perkara akan menjadi kenyataan.

Malah menurut sumber itu, seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur yang bergelar Tan Sri dikatakan terlibat di dalam urusan antara Anwar dan para Ahli Parlimen yang berkenaan.

Sumber itu berkata majoriti dariapda 17 Ahli Parlimen BN yang akan menyertai pakatan pembangkang adalah dari Sabah.

Selain itu beberapa orang antaranya adalah dari semenanjung.

Sebelum ini beberapa maklumat yang diperolehi mengatakan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN termasuk seorang Presiden sebuah parti komponen BN Sabah semasa berada di Hong Kong baru-baru ini.

Anwar juga sebelum ini dilaporkan memberikan bayangan bahawa pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan yang baru paling lewat 16 September depan bersempena dengan hari penubuhan Malaysia.

Anwar sejak pilihan raya umum lalu telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berhubung adanya Ahli parlimen BN yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai beliau membentuk kerajaan baru.

Dakwaan yang dibuatnya itu menjadi bualan yang akhirnya mula dikhuatiri akan menjadi kenyataan ekoran prestasi BN yang buruk selepas pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga. – 10/4/2008

------------------------------------


Kita dengar macam-macam cerita – Najib

Ingat kamu menang pilihanraya atas tiket Barisan Nasional – itulah mesej Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap para ahlli parlimen BN ditengah kehangatan spekulasi ada yang hendak melompat ke pembangkang.

Bercakap kepada para wartawan selepas melancarkan Hari dan Minggu Belia Negara 2008 di Felda Sebertak di Bera,Pahang Sabtu Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun ia mungkin satu mainan politik pembangkang tetapi beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sentiasa memantau rapi hal ini.

''Usaha pembangkang tetap berjalan, sebab itulah kita mesti mengawasi keadaan. Perdana Menteri pun awasi keadaan ini, saya mengawasi keadaan ini, pihak lain pun mengawasi keadaan ini,"katanya.

Najib berkata setakat ini tidak ada ahli parlimen BN yang menyuarakan hasrat menyeberangi parti pembangkang.

''Kita dengar macam-macam cerita, jadi kita anggap ini satu mainan politik. Namun demikian seperti yang saya pernah nyatakan, kita tidak boleh anggap tidak ada apa-apa usaha dilakukan daripada pembangkang,'' katanya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mendampingi Ahli Parlimen BN untuk mengetahui perkembangan dari semasa ke semasa berhubung gejala lompat parti.

Serentak dengan itu beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen BN supaya berpegang kepada prinsip sebagai ahli yang setia dan tidak sesekali mengkhianati parti.

''Prinsipnya ialah kesetiaan kepada parti, lebih-lebih lagi mereka menang atas tiket BN. Oleh itu, secara prinsip dan moralnya, kita tidak boleh khianati parti, kerana parti itulah yang memberi kemenangan kepada kita," katanya.- 10/5/2008



Printable Version | Email to a Friend

Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.