Printing Instructions: Select File and then Print from your browser's menu
--- Article Information ---
This article was printed from http://www.agendadaily.com:8080.
Article's URL: http://www.agendadaily.com:8080/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_98eeedf6-cabec5bb-10715370-ba53ba7e
---------------------------
Agenda Daily: Debat: Sesi 'panas badan' bermula

Debat: Sesi 'panas badan' bermula

Menjelang program Siri Debat Agendadaily yang dirancang antara dua orang kuat Pulau Pinang, 'sesi panas badan' antara satu sama lain kelihatan semakin rancak.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon telah pun menyatakan persetujuannya untuk berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng saling berbalas kenyataan yang berhubung kait dengan debat tersebut.

Secara dasarnya kedua-dua mereka telah menyatakan persetujuan untuk berdebat dan kini kedua-dua pihak sedang mempertimbangkan tajuk debat yang dicadangkan.

Guan Eng yang memberikan indikasi positif untuk menyertai debat, membuat kenyataan akan mendedahkan satu lagi penyelewengan berkaitan tanah yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Serentak dengan itu beliau menyatakan telah menerima surat rasmi daripada Agendadaily untuk menyertai debat itu dan menyambut baik penganjuran debat itu sekiranya ia berhasrat membincangkan mengenai isu tanah tersebut, dan tanpa sebarang syarat.

Manakala lawan debatnya, bekas Ketua Menteri negeri itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada debat itu pula menyelar Guan Eng kerana enggan membenarkannya merujuk fail dan dokumen melibatkan isu tanah bagi mendapatkan fakta yang tepat untuk program debat antara kedua mereka.

Katanya, perbuatan itu jelas menunjukkan Guan Eng cuba menafikan haknya untuk mendapatkan fakta dan maklumat membabitkan isu tanah itu sebagai persediaan untuk perdebatan itu.

``Selaku bekas Ketua Menteri saya perlu merujuk kepada fail dan dokumen yang relevan bagi mendapatkan maklumat supaya saya dapat memberikan fakta yang betul mengenai kes itu,'' katanya dalam kenyataan akhbar hari Jumaat.

Sekiranya, kedua-dua pihak mencapai persetujuan dengan beberapa perkara teknikal, debat berkenaan akan berlangsung pada 20 Ogos 2008 dan dikendalikan oleh moderatornya, Datuk Johan Jaaffar.- 8/8/2008


-------------------------------

Terkini: Debat Tsu Koon vs Guan Eng

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang mahu tajuk debat anjuran Agendadaily.com fokus pada isu dakwaan penyelewengan tanah di negeri itu.

Seorang pegawai Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hubungi Agendadaily pagi Khamis kata mereka mahu kepastian itu sebelum putuskan setuju tak setuju sertai debat yang dicadangkan diadakan 20 Ogos itu.

Beliau menjelaskan ini kerana tempoh waktu sejam debat itu tentu tak cukup untuk berhujah mengenai segala isu lain di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon secara dasarnya sudah bersetuju berdebat dengan Guan Eng.

Debat itu akan disiar secara langsung oleh stesyen TV milik Media Prima.

Debat antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai lalu disiarkan secara langsung oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV manakala TV3 buat siaran tertunda malam itu juga.– 7/8/2008

--------------------------

Debat Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng pada 20 Ogos

Satu lagi debat menarik dijangka dijalankan di Pulau Pinang atau di Kuala Lumpur antara Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkenaan isu-isu semasa pada 20 Ogos ini.

Jurucakap parti Gerakan memberitahu Bernama Rabu malam bahawa debat anjuran portal berita, Agenda Daily yang dijangka dipanaskan dengan menyentuh isu-isu semasa terutama Pulau Pinang, merupakan kali kedua antara Koh dan Lim.

Ia pernah diadakan 10 tahun lalu ketika kedua-dua mereka merupakan pemimpin pemuda parti masing-masing.

Katanya portal berita itu sedang menyediakan format, lokasi dan tema debat, yang telah diperkatakan sejak minggu lepas.

"Beliau (Koh) telah memutuskan sebentar tadi untuk mengadakan debat itu. Beliau sangat teruja untuk berhadapan dengan Lim, yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP," katanya.

Katanya tarikh itu telah disahkan, tetapi belum lagi diketahui sama ada ditetapkan sebarang syarat lain.

"Lim telah bercakap kepada media terlalu banyak dan telah mengelirukan rakyat. Sekarang, ini peluang Gerakan itu bertindakbalas terhadap propaganda DAP," katanya, sambil menambah bahawa anggota-anggota Gerakan juga teruja dan memberi sokongan kepada sepenuhnya tindakan Koh untuk berdebat dengan Lim.

"Kami akan membiarkan orang ramai untuk memutuskan sama ada Lim hanyalah tin kosong yang sekadar membuat bunyi bising," katanya.

Baru-baru ini, Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mencabar Lim untuk berdebat mengenai dakwaan isu penyelewengan tanah jika Lim membuat cabaran secara rasmi.

Pada masa yang sama, Koh berkata beliau mahu debat itu diadakan secara adil dan diadakan selepas mahkamah selesai mendengar kes itu.

Koh juga meminta semua fail dan dokumen mengenai kes itu yang disimpan di pejabat Ketua Menteri dan jabatan kerajaan negeri diubah status dan diberikan kepadanya untuk beliau bersedia menghadapi debat itu.

Bagaimanapun, dengan perkembangan terkini hari ini, semua syarat seperti telah diketepikan untuk debat diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Lim ketika dihubungi Rabu malam berharap Koh tidak akan meletakkan sebarang syarat untuk debat pada 20 Ogos itu, dan berkata ia sepatutnya berkenaan isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang.

"Apa yang rakyat mahu tahu adalah berkenaan penyelewengan tanah. Jika anda mahu berdebat mengenai isu-isu lain, ia tidak mencapai matlamatnya," katanya.

Bulan lepas Agenda Daily menganjurkan debat terbuka antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu minyak di Dewan Bahasa dan Pustaka.- 7/8/2008

--- end ---